Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan tambahan ganjaran sebanyak RM200,000 kepada atlet yang meraih pingat perak dan gangsa di Sukan Olimpik Rio de Janeiro.

Berucap pada majlis menyambut pulang atlet Olimpik negara, hari ini, Najib berkata, sebelum ini kerajaan telah mengumumkan setiap pemenang perak akan menerima RM300,000.

"Bagi pihak kerajaan kita telah isytiharkan setiap pemenang perak akan dapat RM300,000, hari ini kerajaan akan tambah RM200,000 lagi menjadi setengah juta.

"Untuk pemenang pingat gangsa juga kita tambah RM200,000 lagi. Ini Azizulhasni (Awang) akan dapat," katanya ketika berucap di Komplek Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL, hari ini.

Mengulas sambutan yang diadakan itu, Najib berkata wira-wira negara itu disambut dengan suasana luar biasa.

"Sambutan cukup hebat dan luar biasa, walaupun kilauan emas tidak dalam genggam kita, tetapi kita mencatat pencapaian terbaik dalam sejarah Olimpik negara kita.

"Tetapi pada Olimpik Tokyo 2020, apa yang jadi buruan kita selama ini, pingat emas diharap mampu menjadi kenyataan," katanya.

Pada Sukan Olimpik di Brazil, Malaysia mencatatkan pencapaian terbaik apabila membawa pulang empat perak dan satu gangsa.

Terdahulu Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menyambut ketibaan barisan atlet kira-kira jam 3 petang dan menghadiahkan kalungan bunga kepada mereka.

Sementara itu, perdana menteri berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan ketua kontijen negara ke Olimpik Rio, Tan Sri Al-Amin Abdul Majid dalam usaha memberi suntikan semangat dmei kemajuan sukan Malaysia.

Mengulas lanjut kejayaan atlet Olimpik Rio, Najib berkata kepulangan mereka hari ini merupakan hari istimewa buat seluruh rakyat Malaysia.

"Mereka bagaikan 'rock star', mendapat sambutan hebat hari ini," ujarnya sambil memetik kata-kata pelari terpantas dunia Usain Bolt yang menganggap kejayaannya boleh digambarkan dengan satu perkataan iaitu 'dedikasi'.

Selain itu beliau turut menyeru semua pihak supaya mengambil pihak mengambil berat dalam merealisasikan matlamat negara dalam bidang sukan.

"Semua pihak termasuk jurulatih, persatuan sukan, kerajaan, sektor swasta dan rakyat Malaysia perlu bersama merealisasikan matlamat negara.

"Kita perlu berdiri tegus semampun yang boleh untuk memastikan atlet negara memperoleh kejayaan,"

"Saya mahu sukan berjaya kerana ia bukan soal warna kulit, etnik atau agama tetapi atlet negara mewakili semua rakyat Malaysia," katanya.