FAM mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung pengumuman oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang akan mendedahkan kandungan pemacu pena (pendrive) yang didakwa memiliki maklumat rasuah bola sepak negara pada esok hari.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, Khairy telah mengambil tanggungjawab untuk menerangkan apa yang patut diterangkan‎.

"Kita tungu dan lihat, kita tak boleh nak komen lebih lagi, saya awal lagi membuat kenyataan bagi pihak FAM tentang perkara ini sebelum ini," kata beliau ketika ditemui media di Wisma FAM Kelana Jaya, hari ini.

Terdahulu, Khairy dalam kenyataan mengatakan beliau akan mengumumkan kandungan pemacu pena yang didakwa Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai mengandungi maklumat rasuah melibatkan FAM‎ pada Jumaat ini.

Tunku Ismail sebelum ini menyerahkan pemacu pena tersebut kepada Khairy untuk diambil tindakan lanjut.

‎Mengulas lanjut, Hamidin berkata, FAM bersedia pada bila-bila masa sekiranya Khairy mahu bertemu dengan barisan exco berhubung perkara itu.

"Kalau menteri nak jumpa FAM bila-bila masa boleh jumpa, tak jadi isu.

"Saya dah buat kenyataan bagi pihak FAM sebelum ini, saya tegaskan tentang isu ini jadi saya rasa FAM simple saja.

"Mana-mana ada bukti, pegawai terlibat dengan perkara tidak elok bukan saja di FAM, di mana-mana pun pihak berkuasa boleh ambil tindakan," katanya.

Sementara itu Hamidin berkata, FAM akan menyiasat pihak yang mendedahkan maklumat tersebut dan tindakan tegas akan diambil.

‎"Saya tengah lihat perkara itu dan perlu penelitian apa yang terkandung dalam perkara (pendrive) tersebut.

"Dan kaji kemungkinan ada kakitangan atau pegawai yang membocorkan rahsia sudah tentu tindakan tegas akan diambil. Kita akan bincang dengan exco dan melihat perkembangan lanjut selepas ini," katanya.