TMJ layan perlawanan JDT di TV tanpa dengar suara
Semua orang tahu bagaimana dekat dan akrabnya Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan bola sepak, khususnya dengan pasukan JDT.
Beliau adalah antara tokoh yang selalu hadir memberikan sokongan kepada pasukan berkenaan pada perlawanan berlangsung.
Namun bagaimana ketika JDT bermain di tempat lawan?
Kata Tengku Mahkota Johor itu, beliau menyaksikan perlawanan berkenaan di televisyen, namun cara yang dilakukan agak istimewa.
"Awak tahu tak selama ni kalau saya tengok TV perlawanan away (di tempat lawan) JDT, saya tengok tanpa suara, sebab saya tak nak dengar (suara) pengacara (pengulas)," katanya sambil mengajuk beberapa gaya penyampai sukan berkenaan.
Tunku Ismail juga mempersoalkan kesesuaian pengulas berkenaan menjalankan tugas itu kerana mereka tidak mempunyai pengalaman sebagai pemain.
"(Mereka) tu tak pernah main untuk pasukan kebangsaan, atau sekurang-kurangnya kelab, tapi jadi pengacara bola," katanya pada sidang media yang rakamannya dimuat naik di Facebook hari ini.
Sementara itu beliau berkata tidak mustahil JDT akan menandatangani kontrak dengan pemain yang mempunyai nama besar di peringkat antarabangsa.
Syaratnya, kata Tunku Ismail, JDT mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.
"Kalau financial (kewangan) kita strong (kuat) tak mustahil satu hari nanti kita sign (tandatangani) Carlos Teves atau nama-nama besar lain.
"Sekurang-kurangnya dalam satu tahun kita boleh sign satu nama besar dalam kelab untuk tunjukkan kuasa dan imej pasukan," katanya.
Beliau juga menjelaskan - sambil mempersoalkan - mengenai keperluan pemain kelab atau negeri dipanggil menjalani latihan pusat untuk pasukan kebangsaan.
Katanya di negara luar biasanya ketua jurulatih memanggil pemain terpilih empat hari sebelum perlawanan persabahatan berlangsung dan tidak perlu sehingga dua minggu.
"Kalau (jurulatih kebangsaan) nakkan pemain JDT, hanya boleh panggil empat hari sebelum perlawanan, sebab apa?
"Sebab pemain memang sudah cergas. Anda tak perlukan lagitan teknikal sehingga dua minggu," katanya.
Tunku Ismail juga menjelaskan kelabnya berdepan masalah kecederaan dialami pemain selepas tugas mewakili negara berakhir.

