Belum ada keserasian pemain dilihat menjadi punca kekalahan 0-3 skuad Harimau Malaysia kepada pasukan Indonesia pada aksi persahabatan, malam tadi.

Ketua Jurulatih bola sepak kebangsaan Datuk Ong Kim Swee berkata, skuad negara mengalami pertukaran seramai 14 daripada 25 pemain berbanding senarai pemain sebelum ini, termasuk empat pemain yang bersara.

"Seperti mana kita tahu perlawanan antarabangsa terakhir kita dengan Timor Leste di mana kita layak dan daripada pemain itu seramai lapan pemain tidak bersama kita dan ini dah tentu agak menyukarkan untuk membentuk satu pasukan buat masa ini.

"Secara jujurnya pemain yang bersara dan beberapa pemain yang mengalami kecederaan adalah nadi pasukan kita, jika mereka kembali sudah tentu akan lebih baik untuk pasukan dan pada masa sama saya perlu memikirkan pemain yang sedia ada.

"Saya tidak boleh mengharapkan pemain yang bersara kembali," katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Manahan, Solo, Indonesia, berakhir, malam tadi.

Sebelum ini empat pemain JDT termasuk bekas kapten skuad kebangsaan Safiq Rahim membuat keputusan untuk berundur dari mewakili Malaysia.

Akui kesilapan sendiri

Ditanya punca kekalahan itu Kim Swee berkata Malaysia berdepan dengan satu perlawanan sukar dan mengakui kesilapan sendiri apabila dibolosi dua gol awal.

"Kesilapan yang dilakukan terutama pada dua gol pertama diawal perlawanan itu tak sepatutnya berlaku di peringkat yang tertinggi.

"Bahagian pertahanan merupakan yang cukup penting, selepas kita bermain dengan Timor Leste saya menukar kesemua barisan pertahanan kita dan ini banyak masa untuk kita perlukan," katanya.

 

 

 

 

Bagaimanapun Kim Swee tidak menafikan anak buahnya beraksi dengan baik pada separuh masa kedua walaupun gagal mendapat penyudah yang dapat menghasilkan gol.

"Kita bermain dengan baik di separuh masa kedua, tetapi peluang-peluang yang kita dapat tidak dapat disempurnakan dan kita harus perbaiki lagi.

"Kita tahu yang pasukan Indonesia seperti pasukan yang menyimpan begitu lama kekuatan mereka di mana ini perlawanan pertama mereka dan saya faham mereka juga ingin membuktikan sesuatu.

"Hari ini terbukti pasukan Indonesia lebih baik daripada Malaysia," jelasnya.

Serah nasib pada FAM

Sementara itu, ditanya mengenai masa depannya sebagai jurulatih, Kim Swee berkata beliau enggan memikirkan perkara itu dan menyerahkan nasibnya kepada FAM yang menentukan.

"Saya masih lagi mempunyai kontrak dan itu terpulang kepada pihak persatuan jika persatuan ingin saya kekal saya kekal, kalau tidak saya pergi.

"Itu merupakan kerjaya saya, jadi yang penting di sini saya harus fikirkan mengenai persiapan kita untuk ke kejohanan Piala AFF Suzuki," ujar jurulatih kelahiran Melaka itu.

Misi seterusnya Harimau Malaysia selepas adalah mencabar skuad kebangsaan Singapura dalam satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa kelas A pada 7 Oktober dan menanti kunjungan pasukan Afghanistan 11 Oktober depan.