Tak jelas Raja Muda mahu teraju FAS, penyokong sokong MB
Penyokong Selangor mengambil pendirian mengekalkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) susulan tiada kepastian jawatan itu mahu diambil alih Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Jurucakap Gabungan Fan Club Selangor (GFCS) Mohd Faizal Wahid berkata, khabar angin mengenai hasrat Tengku Amir mahu ambil alih jawatan presiden itu tidak jelas sejauh mana kebenarannya.
"Sebab Raja Muda, (kita) tidak pasti sama ada beliau mahu amik alih FAS atau tidak.
"Kita beranggapan Tengku lebih fokus kepada urusan-urusan lain," katanya ketika ditanya sebab GFCS menukar pendirian secara tiba-tiba dengan menyokong kedudukan Azmin selaku presiden.
Terdahulu, GFCS mengubah pendirian untuk menyokong hasrat menteri besar Selangor itu untuk terus kekal sebagai presiden FAS bagi melaksanakan perubahan menyeluruh.
Faizal berkata, persepsi bahawa Azmin gagal menangani masalah dalaman FAS wajar ditolak berdasarkan beberapa faktor, antaranya semenjak mengemudi FAS, 'misi 33' berjaya dilaksanakan dalam tahun pertama beliau.
"GFCS juga mendapat maklum bahawa kebajikan pemain pasukan Selangor turut dibela dan tiada masalah remeh temeh yang membebankan pemain serta barisan kejurulatihan sepanjang tempoh tersebut.
Dalam kenyataan hari ini, katanya presiden turut mendengar keluhan penyokong setia dengan menamatkan kontrak bekas jurulatih Zainal Abidin Hassan serta merombak persatuan ini.
Sebelum ini beberapa kelab penyokong pasukan Selangor dilaporkan meminta FAS merombak kepimpinannya termasuk bagi jawatan presiden.
Faizal berkata, selain itu GFCS juga melihat komitmen kerajaan negeri termasuk peruntukkan besar bagi pembangunan bola sepak Selangor serta kewujudan Akademi Merah Kuning yang sekian lama dinantikan.
"GFCS juga melihat desakan agar Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah mengambil alih teraju FAS sebagai satu langkah tidak bertanggungjawab kerana kemelut sebenar FAS adalah dari keengganan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) yang enggan menerima perubahan dan gagal mentadbir Persatuan.
"Tengku Amir Shah tidak harus diheret ke dalam politik Persatuan. Sesiapapun akan menghadapi masalah mentadbir FAS selagi exco tidak bersatu hati dan menerima angin perubahan dunia bola sepak moden," jelasnya.
Justeru katanya, Azmin sebagai presiden perlu mendapat dukungan kuat seluruh penyokong setia Selangor apatah lagi beliau telah menyatakan komitmen untuk menjayakan penswastaan pasukan Selangor.
"Beliau juga perlu memberi kata dua kepada exco persatuan sama ada menerima perubahan atau ditunjukkan jalan keluar," katanya.

