Kim Swee, usahlah merayu pada yang tak sudi
Kekalahan 0-3 skuad Harimau Malaysia pada aksi persahabatan menentang Indonesia Selasa dilihat tidak perlu menjadi sebab untuk ketua jurulatihnya Datuk Ong Kim Swee menagih kembali khidmat empat pemain JDT yang bersara.
Penyokong tegar skuad kebangsaan, Ultras Malaya berpendapat jika dirayu dan mereka kembali berkhidmat belum tentu menjamin kejayaan di masa akan datang
"Kalau ditagih, adakah dapat menjamin bahawa kejayaan akan datang jika mereka kembali? Adakah Malaysia dapat layak ke Piala Dunia? Dapat layak ke Piala Asia?
"Atau sekadar nak bersaing di Piala Suzuki AFF dan menjaga periuk nasinya sekarang sahaja tanpa memikirkan kesinambungan kejayaan untuk masa depan," kata Jurucakap Ultras Malaya, Alfadli Awaludin.
Kim Swee semalam dilaporkan masih mengharapkan kudrat bekas empat tonggak negara berikutan kekalahan skuad negara menentang Indonesia pada aksi persahabatan semalam.
Beliau mengakui ketiadaan Aidil Zafuan Abd Radzak, S Kunanlan, Amirulhadi Zainal dan Safiq Rahim menyukarkannya untuk mendapatkan keserasian pemain baharu dalam tempoh yang singkat.
Alfadli atau lebih dikenali sebagai Rambo di kalangan ahli Ultras berkata, situasi sekarang sepatutnya tidak difikirkan tentang apa yang sudah berlaku, siapa yang dah bersara dan sebagainya.
"Sebaliknya perlu memikirkan tentang masa depan, apa visi apa misi bola sepak kita. Empat pemain itu, satu hari nanti mereka akan bersara juga.
"Jadi sebenarnya tiada impak pun untuk jangka masa panjang, ini hanya sekadar pemikiran jurulatih untuk jangka masa pendek. Mungkin hanya nak jaga periuk nasi beliau.
Tambahnya, prestasi Harimau Malaysia yang tewas kepada Indonesia adalah perkara biasa.
"Tewas itu kan biasa, menang itu yang luar biasa. Jadi apa yang perlu dihairankan?" katanya.
Sementara itu pendapat sama turut dilontarkan oleh bekas penjaga gol kebangsaan, Jamsari Sabian.
Menurutnya, Kim Swee perlu mencari pemain yang ada jiwa untuk bermain demi negara dan tidak perlu menagih kembali pemain yang sudah tiada minat.
"Pemain dah tak nak main untuk negara kenapa ditagih lagi, berilah peluang kepada pemain-pemain lain. Rasanya ramai lagi pemain yang menunggu peluang untuk berbakti pada negara.
"Situasi dahulu, pemain mendahului negara kemudian baru (pentingkan) pasukan negeri. Tapi sekarang sudah terbalik, negeri dulu baru negara.
"Mungkin sebab wang, dulu mungkin tak semewah sekarang," katanya.

