Abdul Latif 'terbang tinggi'
Atlet lompat jauh negara, Abdul Latif Romly membanggakan Malaysia sekali lagi dengan kejayaan meraih emas ketiga di temasya Paralimpik Rio de Janeiro, sebentar tadi.
Abdul Latif juga mencatatkan kejayaan berganda apabila mencatat rekod baru dunia bagi kategori T20 (kurang upaya intelektual) dengan lompatan 7.60 meter.
Atlet dari Perlis itu memecahkan rekod yang dicipta atlet Sepanyol Jose Antonio yang mencatatkan 7.25 meter pada Paralimpik London 2012 lalu.
Walaupun lompatan pertamanya dibatalkan atas sebab teknikal, Abdul Latif berjaya memperbaiki lompatannya pada percubaan kedua dan ketiga dengan catatan 7.54 meter sekali gus mengatasi rekod dunia.
Latif padam rekod sendiri dengan catatan baru 7.54 meter! pic.twitter.com/W6wLbEh3hx
— MSN MALAYSIA (@MSNMALAYSIA) September 11, 2016
Lompatan sejauh itu sudah mengatasi atlet lain, namun atlet berusia 19 tahun itu tetap berusaha keras dengan memperbaiki lompatan pada jarak 7.60 meter untuk lompatan kelima dilakukannya.
Ketika pingat emas tergantung megah di leher Abdul Latif, lagu Negaraku bergema di Rio buat kali ketiga selepas kejayaan sama dilakar Muhammad Ridzuan Puzi bagi acara 100 meter dan Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru).
Ridzuan mencatatkan rekod baru kejohanan, manakala Ziyad - seperti Abdul Latif - mencatat nama sebagai pelontar peluru paralimpik terbaik dunia setakat ini.
Abdul Latif berjaya mengatasi pesaing terdekatnya - atlet dari Crotia - Zoran Talic yang meraih pingat perak dengan lompatan 7.12 meter dan pemilik gangsa dari Ukraine, Dmytro Prudnikov yang mencatatkan lompatan 6.99 meter.
Pada temasya Sukma Sarawak Julai lalu, Abdul Latif tampil mengejutkan atlet normal dengan meraih emas bagi acara lompat jauh dengan rekod 7.48 meter.
Untuk makluman, rekod kebangsaan acara lompat jauh bagi atlet normal ialah 7.88 meter.
Malaysia's 19yr old Abdul Latif Romly breaks own WR for the THIRD time today with a long jump of 7.60m! #Paralympics https://t.co/yIwebPVICG
— IPC Athletics (@IPCAthletics) September 11, 2016

