Lawan Singapura, Kim Swee gugurkan Apek
Penjaga gol utama skuad Harimau Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat antara lima pemain yang tidak akan bersama pasukan itu ke Singapura untuk perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Singapura Jumaat ini.
Jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee berkata Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek tidak dibawa ke Singapura bagi memberi peluang kepada dua lagi penjaga gol iaitu Khairul Azhan Khalid dan Hafizul Hakim Khairul Nizam.
Katanya, selain Khairul Fahmi turut digugurkan dalam senarai bertemu Singapura ialah Ronny Harun, Matthew Davies, Nasir Basharuddin dan Ahmad Khuzaimi Piee.
"Mereka bukan digugurkan. Apabila pasukan kembali ke tanah air pada Sabtu ini, mereka akan bersama pasukan semula untuk sesi latihan penuh sebagai persediaan menghadapi perlawanan bertemu Afghanistan (Selasa ini).
"Ronny mengalami kecederaan belakang, Nasir cedera pangkal paha manakala Matthew mengalami sedikit masalah kesihatan. Sementara Khuzaimi akan berada dalam skuad untuk bertemu Afghanistan," katanya kepada media di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Kim Swee berkata, kelima-lima pemain tersebut akan menjalani latihan ringan dan sesi pemulihan di Wisma FAM bersama pegawai yang sudah dikhaskan.
Ditanya pemain yang bakal menggantikan tempat Ronny, beliau menjelaskan beberapa pemain boleh beraksi di posisi pertahanan tengah seperti Khairul Helmi Johari, Shahrul Saad dan Fadhli Mohd Shah.
"Kita mempunyai beberapa pemain yang boleh beraksi di bahagian pertahanan tengah, saya akan menilai mereka hari ini dan esok siapa yang akan bermain untuk kesebelasan utama," jelasnya.
Sementara itu mengulas mengenai perkembangan penyerang berpengalaman Norshahrul Idlan Talaha pula, Kim Swee menjelaskan pemain Terengganu itu giat melakukan latihan tambahan dalam usaha untuk meningkatkan tahap kecergasannya ke tahap tertinggi.
"Sudah tentu Mat Yo (Norshahrul) perlu banyak masa, sama ada bermain atau tidak di Singapura yang penting dia dapat kembalikan tahap kecergasan dan mempertajamkan semula sentuhan penyudah," katanya.

