Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Johan Cruyff penyokong tegar Man City?
Diterbitkan:  Oct 7, 2016 4:12 PM
Dikemaskini: 8:47 AM

Legenda bola sepak Belanda, Johan Cruyff, disebut-sebut menjadi salah seorang penyokong tegar Manchester City jika dia masih hidup pada hari ini.

Perkara itu dikatakan anak lelakinya, Jordi Cruyff.

Menurut Jordi, ayahnya memberitahu hal itu kepadanya sebelum meninggal dunia di usia 68 tahun pada Mac lalu.

"Dia begitu mengagumi bola sepak England. Dia seronok dengan hal itu, jadi dia amat gembira ketika saya berpeluang bermain bersama Manchester United selama empat tahun.

"Kalau dia masih boleh menyaksikan bola sepak kini, mungkin dia akan menjadi penyokong tegar Manchester City," katanya seperti dilaporkan BBC.

Jordi, 42, menyatakan kemungkinan itu ketika hadir ke majlis pelancaran buku autobiografi ayahnya yang bertajuk My Turn.

Majlis itu turut dihadiri pengurus Man City, Pep Guardiola yang berlangsung di kedai buku Waterstones, Tottenham Court Road, London.

Jordi pernah beraksi bersama MU antara 1996 hingga 2000 sebagai penyerang tengah sebelum berpindah ke kelab Deportivo Alaves.

MU ketika itu diurus oleh Alex Ferguson.

Dalam bidang kejurulatihan, Johan disebut sebagai seorang tokoh penting yang mengasaskan strategi menyerang tiki-taka yang kini menjadi taktikal kelab Barcelona.

Sementara itu, Guardiola dilaporkan sebelum ini pernah menyebut Johan sudah membangunkan bola sepak Barcelona dan dia ketika melatih pasukan itu hanya 'melenggang' sahaja.

Kini, Guardiola dilihat sedang berusaha mengembangkan gaya persembahan diterapkan Johan ketika membimbing skuad The Citizens.

"Dulu saya pernah terfikir sudah mengetahui segalanya dalam bola sepak. Tapi ketika saya bertemu dan bekerjasama denganya, sebuah dunia baru muncul di depan saya.

"Jurulatih lain mengatakan banyak perkara dan dia (Johan) menyatakan sesuatu yang berbeza sama sekali.

"Dia membantu kami memahami permainan," katanya yang pernah dilatih Cruyff ketika beraksi dalam skuad Barca.

"Dalam karier, saya adalah orang yang bertuah. Saya duduk di sini sebagai pengurus Man City dan sebelum itu di Bayern Munich dan Barcelona. Kerana dulu saya sudah bertemu dengannya.

"Kalau tidak, takkan mungkin seperti sekarang. (Bersama Johan) rasanya seperti menghadiri kuliah universiti setiap hari," jelasnya.

Lihat Komen
ADS