Apa jua taktikal- itulah kata ketua jurulatih Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee dalam persediaan mengharungi perlawanan menentang pasukan Afghanistan, malam esok.

Jika anak buahnya mampu mencatat keputusan seri dengan Singapura yang berada di rangking ke-155 dunia, pertemuan dengan Afganistan di kedudukan ke-149 pastinya dilihat lebih mencabar.

Bagi pengendali kelahiran Melaka ini, selain kemenangan, beliau menuntut barisan pemain yang diturunkan mempamerkan corak permainan lebih baik berbanding perlawanan sebelum ini.

"Saya akan tetap menggunakan apa saja taktikal yang perlu. Saya mahu semua pemain tahu apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan keputusan baik pada perlawanan ini.

"Kita bukan saja mahu hasilkan keputusan tetapi perlu menunjukkan corak permainan lebih baik berbanding ketika bertemu Singapura, Jumaat lalu," katanya pada sidang media praperlawanan di Kelana Jaya, hari ini.

Justeru pada aksi di Stadium Shah Alam itu katanya, adalah penting bagi setiap pemain menguasai konsep, taktikal dan kaedah perlawanan seperti dirancang.

"Itu lebih penting untuk membina pasukan ini dengan baki satu lagi perlawanan persahabatan menentang Papua New Guinea, bulan depan," ujarnya.

Setara pasukan Timur Tengah

Mengulas kekuatan lawan pada kaca matanya, Kim Swee mengakui kekuataan skuad Afghanistan adalah setara dengan pasukan negara-negara lain di Timur Tengah.

"Seperti yang kita tahu, semua pasukan dari Timur Tengah memang mempunyai kekuatan yang seimbang di semua bahagian, lebih-lebih lagi kebanyakan pemain Afghanistan ini beraksi di Liga Eropah.

"Mereka tidak bermain di liga Timur Tengah, tetapi bermain di Liga Eropah walaupun di divisyen ketiga atau keempat. Pastinya mereka satu pasukan yang cukup kuat," jelasnya.

Sementara itu, mengulas perkembangan semasa pemainnya, Kim Swee berkata anak buahnya berada dalam keadaan baik selepas pulang dari Singapura, melainkan tiga pemain tercedera.

"Hanya Khairul Helmi Johari dan Azrif Nasrulhaq (Badrul Hisham) mengalami kecederaan manakala pemain lain dalam keadaan cukup baik.

"Saya perlu memberi peluang kepada semua pemain untuk menarik perhatian saya. Saya takkan panggil lagi 30 pemain untuk kem latihan pusat terakhir dengan hanya 25 pemain akan dipanggil sebelum 23 pemain didaftarkan ke Piala Suzuki AFF 2016.

"Jadi perlawanan esok adalah tempoh terakhir mereka pamerkan kemampuan masing-masing," katanya.