Hadin selamatkan Harimau Malaysia
Gol penyamaan Hadin Azman untuk keputusan seri 1-1 menyelamatkan Harimau Malaysia dari menjadi mangsa Afghanistan, di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.
Hadin masuk sebagai pemain gantian di minit ke-18 menggantikan Ahmad Syazwan Zainol sebelum menjaringkan gol penyamaan penghujung masa pertama.
Pada aksi persahabatan antarabangsa kelas A itu, anak buah Datuk Ong Kim Swee turun dengan berhati-hati dan kurang melawan untuk 45 minit pertama.
Percaturan Kim Swee adalah bertahan secara total pada awal permainan, manakala pasukan pelawat tampil agresif dengan corak persembahan pantas menguasai perlawanan.
Sepuluh hingga 20 minit pertama hampir semua pemain Malaysia berada di kawasan sendiri dan tiada serangan balas berjaya dilakukan ke benteng pertahanan Afghanistan.
Hanya kelibat Norshahrul Idlan Talaha dilihat berada di garisan tengah padang, malah pergerakannya sentiasa dirantai lawan.
Tidak banyak yang boleh dilakukan pemain dari Terengganu itu. Setiap kali mendapat bola, dia gagal mengawal dengan baik sebaliknya mudah dirampas pemain lawan.
Walaupun taktikal bertahan jadi taruhan Harimau Malaysia, gawang negara tetap berjaya dirobek Nourallah Amiri melalui percubaan di luar petak penalti.
Sepuluh pemain termasuk penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat berada di dalam kotak penalti gagal untuk melakukan sesuatu bagi menghalang rembatan penyerang Afghanistan itu.
Tersentak dengan jaringan lawan, jentera Malaysia mula mengorak langkah menyusun strategi serangan dan Afghanistan pula mula mengendurkan sedikit tempo permainan mereka.
Ada dua percubaan berjaya dicipta skuad negara antaranya melalui Shahrul Saad yang menanduk hantaran lintang berpunca dari sepakan bebas Baddrol Bakhtiar.
Satu lagi peluang juga melalui tandukan oleh pemain pertahanan Fadli Shas sedikit sebanyak memberi amaran kepada penjaga gol pasukan pelawat.
Tambahan masa kecederaan dua minit oleh pengadil dari Thailand mendatangkan 'nasib baik' buat skuad negara, Hadin bijak menyempurnakan tandukan mengatasi pemain lawan untuk gol penyamaan Malaysia.
Melalui hantaran Matthew Davis, gol Hadin sekurang-kurangnya menyelamatkan Harimau Malaysia daripada kekalahan sekali gus menyaksikan dua keputusan positif dari dua perlawanan persahabatan terakhir.
Sementara itu, babak masa kedua memperlihatkan peningkatan ketara dilakukan pemain Malaysia dari segi gerakan khususnya dalam mengatur serangan berbanding awal permainan.
Sekurang-kurangnya, barisan pemain tampil memberi saingan sengit dan mengimbangi gerakan-gerakan jentera Afghanistan.
Namun, mungkin sudah agak terlambat untuk mereka melakukan kebangkitan drastik walaupun ada percubaan yang dilihat boleh menghasilkan gol sebelum wisel penamat ditiupkan pengadil.

