Kemenangan 2-1 ke atas PDRM pada aksi separuh akhir pertama belum cukup untuk skuad Kedah berasa selesa menjelang perjuangan akhir merebut slot perlawanan akhir Piala Malaysia 2016.

Di sebalik persiapan akhir menjelang perlawanan di Stadium Hang Jebat, Melaka esok, apa yang menjadi kerisauan jurulatih Helang Merah Tan Cheng Hoe adalah gerakan counter attack (serangan balas) pasukan lawan.

Katanya, kombinasi penyerang PDRM musim ini telah membuktikan skuad kendalian Fauzi Pilus itu mampu membuat kejutan kepada pihak lawan melalui serangan balas pantas.

"Kerisauan saya sedikit sebanyak terhadap serangan balas PDRM, dalam musim ini terbukti beberapa pemain seperti Guilherme de Paula, Safuwan Baharuddin.

"Selain itu mereka lokal seperti Fakhrul Aiman sedikit sebanyak memberi ancaman kepada mana-mana pasukan serta bola hantaran Andre Francisco Wiliams agak merisaukan saya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Prestasi Kedah musim ini menyaksikan mereka berjaya melangkah ke saingan separuh akhir Piala Malaysia dua tahun berturut-turut dan turun dengan misi mengulangi kejayaan ke perlawanan akhir musim lalu.

Semangat untuk menembus rasa kecewa dengan kekalahan 0-2 kepada Selangor pada final 2015 kini masih terbuka untuk membawa pulang piala berprestij ke bumi Jelapang Padi.

Kali terakhir Kedah muncul sebagai juara pada musim 2008 dengan mengalahkan pasukan Negeri Sembilan dengan keputusan 2-1 dan tahun sebelumnya menewaskan Perak 3-0.

Cheng Hoe berkata, dengan persiapan yang berjalan lancar setakat ini beliau mengharapkan setiap pemain tampil dengan persembahan terbaik termasuk di posisi pertahanan.

"Seperti kita tahu ramai yang kata bahagian pertahanan Kedah agak longgar sepanjang musim ini dan saya harap pemain pertahanan dapat membaca dan mengatasi setiap serangan PDRM.

"Selepas pertengahan musim kita nampak (pertahanan) semain positif dan saya harap pemain tunjukkan prestasi sebenar mereka pada perlawanan penting dan genting esok," katanya.

Tambahnya, mereka juga tidak boleh terlalu yakin berdepan pasukan lawan sebaliknya berkunjung ke Melaka dengan motivasi, keyakinan dan kekuatan mental di tahap terbaik.

"Apa yang penting juga saya harap pemain dapat menyerap tekanan untuk mengawal permainan," katanya yang juga bekas pemain Kedah ketika pasukan itu menjuarai Piala Malaysia edisi 1990.