Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan

Penyokong Negeri Sembilan diminta hadir beramai-ramai memberi sokongan padu kepada pasukan Negeri Sembilan dalam saingan Piala Agong 2016 menentang Perak di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Perlawanan yang akan bermula pada pukul 8.45 malam itu adalah perlawanan pembuka tirai Kejohanan Piala Emas Raja-Raja edisi ke 76 pada tahun ini.

Negeri Sembilan adalah juara Piala Emas Raja-Raja 2015, manakala Perak merupakan juara Piala Agong 2015.

Pasukan yang memenangi Piala Agong akan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Melayu Negeri Sembilan Abdul Rafi Abdul Murad berkata, penglibatan penyokong penting kerana mampu menaikkan semangat pemain untuk beraksi cemerlang.

"Saya harap penyokong memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada pasukan sehingga ke tiupan wisel terakhir. Bagaimanapun, pada masa yang sama saya mengingatkan mereka (penyokong) supaya tidak membuat kecoh. Saya yakin ramai penyokong akan ke stadium malam esok kerana masuk adalah percuma," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau yang juga penolong pengurus pasukan berkata Piala Agong adalah piala idaman Negeri Sembilan kerana ini merupakan kali pertama pasukan itu melayakkan diri bersaing untuk merebut piala itu.

"Kita menaruh harapan tinggi untuk memenanginya dan saya yakin kita mampu memberi saingan kepada pasukan lawan," katanya.

Perlawanan Piala Emas Raja-Raja 2016 pada saingan peringkat kumpulan akan bermula pada 4 Nov ini.

-Bernama

Lihat Komen
ADS