Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan

Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperkuatkan kawalan keselamatan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Shah Alam pada 30 Oktober ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat berkata penggunaan unit berkuda itu adalah antara langkah penambahbaikan diambil PDRM dalam usaha mengekang sebarang jenayah di tempat perlawanan.

Menurut Shafien peranan unit tersebut adalah bagi mengawal dan mencegah sebarang aktiviti tidak diingini di persekitaran stadium.

"Dari segi kekuataan anggota PDRM masih menggunakan format sama seperti tahun lepas, dengan jumlah anggota yang ditugaskan lebih 2,000 orang.

"Ia termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU), unit anjing (‎K9) dan anggota trafik," katanya pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa pengelola perlawanan akhir Piala Malaysia 2016 di Shah Alam hari ini.

Piala Malaysia edisi ke-90 tahun ini sekali lagi mempertemukan Selangor dan Kedah di perlawanan akhir di Stadium Shah Alam.

Final Piala Malaysia tahun lalu menyaksikan pasukan Merang Kuning mengungguli kejohanan itu dengan menumpaskan Lang Merah 2-0.

Shafien berkata, melalui mesyuarat tadi PDRM memberi komitmen untuk mempertingkatkan lagi kawalan keselamatan memandangkan momentum perlawanan yang begitu menarik.

"‎Pintu stadium akan mula dibuka pada jam 4 petang dan empat pintu disediakan kepada kedua-dua penyokong.

‎"Semua penyokong Kedah akan masuk melalui pintu B dan C, manakala Selangor melalui pintu A dan D.

"Jadi pihak keselamatan harap semua penyokong beri kerjasama kepada pihak keselamatan termasuk tidak membawa bahan atau senjata larangan," jelasnya.

Sementara itu, ‎Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) Kevi Ramalingam berkata pihaknya menyediakan 30,000 tiket melalui Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS)

Katanya, setiap tiket dijual pada harga RM50 kecuali untuk 2,000 kanak-kanak yang berpeluang menyaksikan perlawanan itu dengan tiket berharga RM5 saja.

"Tiket akan dijual melalui persatuan masing-masing secara serentak iaitu pada 26 Oktober di Stadium Shah Alam dan Stadium Darul Aman.

"Selain itu sebanyak 10,000 tiket biasa dan 500 tiket kanak-kanak akan dijual melalui atas talian," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS