Layan bola dengan bertamadun, pesan IGP
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menasihati penyokong Kedah dan Selangor supaya tidak mengganggu orang lain ketika perlawanan akhir Piala malaysia 2016, Ahad ini.
Beliau berkata, pihak polis sudah bersedia dengan keanggotaan mencukupi bagi memastikan perlawanan itu berlangsung dengan aman dan bersedia manangani apa jua ancaman.
"Kita janganlah buat perkara yang akan mengganggu orang lain, sama-samalah sokong pasukan masing-masing dengan cara yang betul jangan buat cara tak bertamadun pula," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Melaka seperti dilaporkan Bernama, hari ini.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan PDRM akan memperkuatkan kawalan keselamatan pada perlawanan akhir di Shah Alam itu dengan penggunaan unit berkuda.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat berkata, penggunaan unit berkuda itu adalah antara langkah penambahbaikan diambil PDRM dalam usaha mengekang sebarang jenayah di tempat perlawanan.
Menurut Shafien peranan unit tersebut adalah bagi mengawal dan mencegah sebarang aktiviti tidak diingini di persekitaran stadium.
"Dari segi kekuataan anggota PDRM masih menggunakan format sama seperti tahun lepas, dengan jumlah anggota yang ditugaskan lebih 2,000 orang.
"Ia termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU), unit anjing (K9) dan anggota trafik," katanya.

