Menjelang 90 minit perlawanan akhir Piala Malaysia 2016 esok, jurulatih Selangor K Gunalan akan menggunakan resepi tersendiri bagi menyekat cabaran serangan skuad Kedah.

Menurutnya, skuad The Red Giants akan merantai beberapa 'target man' pasukan lawan di samping memburu gol awal.

"Kita akan buat yang terbaik, ‎takkan bermain terlalu bertahan dengan taktikal khas yang akan diterapkan," katanya ketika ditemui selepas sidang media pra-perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, hari ini.

Gunalan menyifatkan beberapa pemain berbahaya Kedah perlu dikawal ketat terutama di posisi tengah dan sayap.

"Kita tahu beberapa pemain mereka yang berbahaya seperti Liridon Kraniqi, Baddrol Baktiar dan pemain sayap mereka.

"Jadi akan compact di bahagian tengah untuk tidak bagi ruang mereka merencana serangan.

"Daripada situ kita akan patahkan serangan dan cuba melakukan serangan balas‎," jelasnya yang menggalas tugas jurulatih sejak Ogos lalu.

‎Sementara itu jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe dilihat meletakkan keyakinan penuh berdasarkan motivasi tinggi ditunjukkan pemain Helang Merah.

‎"Sepanjang minggu latihan memang suasana cukup ceria, pemain tunjukkan motivasi tinggi.

"Saya harap mereka dapat beri tumpuan 100 peratus pada perlawanan," katanya.

Tambah Cheng Hoe, mereka akan beraksi dengan perancangan biasa tanpa taktikal khas.

"Yang penting kita bermain dengan keyakinan tinggi, saya harap pemain enjoy dengan perlawanan akhir dengan sokongan ramai penyokong.

"‎Pemain perlu bermain sebagai satu pasukan, kita akan bermain dengan kekal corak permainan kita. Dan yang penting bila dapat peluang kita perlu jaringankan gol," katanya.