Ratu skuasy Malaysia dan pemain nombor tiga dunia, Datuk Nicol David meneruskan aksi cemerlang apabila mara ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Wadi Degla yang berlangsung di Kaherah, Mesir, awal pagi tadi.

Pemain kelahiran Pulau Pinang yang juga pilihan utama kejohanan, bagaimanapun, terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan pemain pilihan kelima, Nour El Tayeb dari Mesir; 6-11, 12-10, 11-8 dan 11-8 dalam perlawanan suku akhir di Kelab Wadi Degla yang berlangsung kira-kira sejam.

Bercakap selepas itu, Nicol berkata beliau gembira dengan kemenangan itu, dan beraksi dengan tenang sepanjang perlawanan itu untuk mengalahkan pemain muda Mesir berkenaan.

"Konsistensi saya berbayar hari ini dan saya perlu bermain dengan bersungguh-sungguh kerana anda sudah pasti tidak mahu berada di situ terlalu lama. Saya gembira memenangi perlawanan ini 3-1," beliau dipetik sebagai berkata dalam laman web kejohanan www.wadideglaworldsquashchamps.com.

Nicol akan bertemu seteru beliau pemain Mesir, Raneem El Welily dalam pusingan separuh akhir pada Jumaat selepas pemain pilihan ketiga itu berjaya mengalahkan pilihan kelapan, Donna Urquhart dari Australia; 14-12, 7-11, 11-3 dan 11-9 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

-Bernama