Piala Suhandinata: Rep Czech jadi cabaran M'sia
Skuad negara mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Remaja Berpasukan Campuran Dunia merebut Piala Suhandinata di Arena Bilbao, Sepanyol, pada Khamis.
Malaysia yang membelasah Mexico 5-0 dalam aksi Kumpulan E1 pada perlawanan pembukaan pada Rabu, bagaimanapun tidak perlu bersusah payah apabila lawan mereka, Zambia menarik diri daripada kejohanan itu, demikian menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia www.bwfbadminton.org.
Skuad negara yang diterajui juara remaja perempuan dunia, Goh Jin Wei kini akan berdepan juara Kumpulan E2, Republik Czech pada Jumaat untuk menentukan tiket ke suku akhir.
Acara berpasukan akan berakhir Ahad ini sebelum kejohanan tahunan itu diteruskan dengan acara individu.
Sebagai rekod, Malaysia pernah menjuarai acara berpasukan ketika ia diadakan di Taiwan pada 2011 dan pernah muncul juara dalam kesemua acara individu itu kecuali beregu wanita sejak kejohanan tersebut diperkenalkan pada 1992.
-Bernama

