Presiden Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD), Datuk Samson Maman berkata persatuan itu terpaksa berhutang hampir RM100,000 untuk menghantar pasukan lelaki dan wanita negara ke Kejohanan Dodgeball Dunia di Melbourne, Australia.

Bagaimanapun pengorbanan itu berbaloi apabila pasukan wanita muncul juara dalam saingan membabitkan lapan negara manakala pasukan lelaki muncul naib juara dari sembilan pasukan yang mengambil bahagian.

Justeru, Samson semalam memohon jasa baik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membayar semula sebahagian daripada hutang itu kerana berjaya menunjukkan keupayaan mereka bersaing di peringkat tertinggi.

Katanya, sebelum ke kejohanan itu, KBS hanya menyalurkan bantuan RM20,000 tetapi jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung pasukan ke Melbourne.

“Jadi, ahli persatuan terpaksa berhutang walaupun mereka sedar mengenai kemungkinan tidak mendapat semula wang itu.

“Saya juga tahu kami tidak akan mendapat insentif daripada kejayaan ini kerana dodgeball bukan dalam sukan teras yang mendapat bantuan sepenuhnya,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Sehubungan itu, beliau berharap KBS dapat membantu mereka, sekurang-kurangnya RM65,000 bagi menampung sebahagian daripada kos bagi menghantar atlet ke Australia.

Skuad wanita negara yang ketuai Chong Hwei Xian (gambar) muncul juara selepas menewaskan Kanada 6-5 manakala pasukan lelaki tewas kepada negara sama, 7-8 di perlawanan akhir.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M Saravanan dilapor berkata, pihaknya akan berusaha mencari jalan terbaik untuk membantu MAD dan akan membincangkan perkara itu dengan Ketua Setiausaha KBS Datuk Lokman Hakim Ali.