Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Lavezzi dituduh hisap ganja, skuad Argentina boikot media
Diterbitkan:  Nov 16, 2016 3:38 PM
Dikemaskini: 7:51 AM

Skuad bola sepak Argentina diketuai Lionel Messi melancarkan boikot ke atas media selepas rakan sepasukan mereka Ezequiel Lavezzi dituduh mengambil ganja di pusat latihan.

Kenyataan memboikot media itu dilakukan sejurus Argentina meraih kemenangan 3-0 ke atas Colombia pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018, awal pagi tadi.

Berdiri di depan rakan-rakan dan puluhan media, Messi mengatakan mereka tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan kepada wartawan.

Messi dan barisan pemain Argentina kesal dengan laporan seorang wartawan sebuah media tempatan yang melemparkan dakwaan Lavezzi menghisap ganja di kem latihan.

"Kami sudah membuat keputusan untuk tidak bercakap lagi kepada pihak media, anda semua jelas sebabnya," kata Messi seperti dilaporkan AFP.

"Ada banyak tuduhan, sikap tidak menghormati dan dakwaan yang dibuat terhadap Lavezzi sangat serius," katanya yang juga kapten pasukan.

Messi, yang menjaringkan gol menerusi sepakan percuma cantik dan menjadi pengumpan dua lagi gol kemenangan Argentina, berkata mereka gembira menerima kritikan persembahan mereka selepas menjelaskan mengenai kempen boikot terbabit.

Ujar penyerang Barcelona itu, mereka boleh menerima jika dikritik berdasarkan persembahan di atas padang susulan prestasi buruk, tetapi kritik dan tuduhan terhadap Lavezzi itu dibuat tanpa asas.

Terdahulu, Lavezzi yang kini beraksi di Liga China dituduh melalui tulisan di Twitter seorang wartawan radio yang menyebut pemain itu menghisap ganja di pusat latihan.

"Kami tahu sebahagian besar kalian (wartawan) tidak terlibat dalam perkara biadap ini. Kami boleh dikritik ketika kalah atau menang.

"Tapi hal ini berhubung kehidupan peribadi. Jika kami tidak menghentikannya sekarang, maka ia tidak akan dihentikan," tambah Messi.

Sementara itu, Lavezzi menyangkal tuduhan tersebut, malah dilaporkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap wartawan berkenaan atas kenyataan palsu yang boleh memberi kesan kepada karier dan keluarganya.

Lihat Komen
ADS