Woodburn padam rekod Michael Owen di Liverpool
Penyerang muda Liverpool, Benjamin Woodburn mengukir sejarah baru ketika membantu pasukannya menewaskan Leeds United pada aksi suku akhir Piala Liga Inggeris di Stadium Anfield, awal pagi tadi.
Di usia 17 tahun 45 hari, Woodburn memadamkan rekod bekas penyerang Liverpool, Micheal Oven sebagai penjaring termuda kelab yang dicipta pada tahun 1997.
Ketika mencipta gol dalam perlawanan tersebut, Woodburn berusia 58 hari lebih muda berbanding Owen.
Woodburn masuk menggantikan Kevin Stewart pada minit ke-67 dengan penampilan kedua bagi dirinya selepas diturunkan Sabtu lalu pada perlawanan menentang Sunderland.
Terdahulu, skuad The Kop memperolehi gol pertama hasil jaringan Divock Origi menjaringkan gol pertama pada minit ke-76.
Woodburn kemudiannya menggandakan jaringan pada minit ke-81 selepas memanfaatkan bola umpanan rakan sepasukan.
"Tugas pertama saya adalah membuat semua pemain mendapat potensi terbaik mereka. Saya sangat gembira dengan penampilan Ben (Woodburn)," ujar Pengurus Liverpool Jurgen Klopp seperti dilaporkan Twitter rasmi Liverpool.
"Semua pemain turut gembira atas pencapaiannya. Mereka semua tersenyum di bilik persalinan, ini adalah saat yang baik buat dia dan kami," tambahnya.
Kemenangan itu sekali gus melayakkan Liverpool ke saingan separuh akhir Piala Liga Inggeris musim ini.
Kejayaan itu merupakan pencapaian ke-17 Liverpool berjaya ke separuh akhir mengatasi pasukan lain.

