Skuad TRW belum ada penaja
Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) masih belum menerima sebarang tajaan rasmi bagi persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia 2017.
Pemangku Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata ia sekali gus mengakibatkan persatuan itu kini berada dalam keadaan terumbang-ambing kerana kantung Kelantan kini kering-kontang.
"Kita memerlukan sekurang-kurangnya RM12 juta untuk mengharungi satu-satu musim dan kebiasannya pada Disember setiap tahun, pasukan telah melakukan persediaan termasuklah urusan pengambilan pemain (import dan tempatan).
"Kami berharap ada pihak yang kasihkan bola sepak Kelantan untuk tampil ke depan bagi membantu agar ia tidak menjejaskan kelangsungan pasukan," katanya pada sidang media sempena pengumuman pelantikan ketua jurulatih Kelantan bagi musim 2017 di Wisma KAFA di Kubang Kerian di Kota Bharu, semalam.
Pada majlis itu, bekas pengendali Kelab Bola Sepak Kementerian Kewangan (MOF FC) Zahasmi Ismail dilantik sebagai ketua jurulatih The Red Warriors bagi tempoh setahun bermula musim depan.
Sebelum ini, sebuah syarikat kosmetik yang menaja pasukan itu tahun ini telah mengumumkan tidak meneruskan tajaan tahun depan.
-Bernama

