Malaysiakini

Malaysia kempunan julang piala bola orang pekak

N Faizal Ghazali

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Hasrat Malaysia untuk menjulang Piala Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Asean (ADFC) berkecai apabila nasib memihak kepada pasukan Thailand hari ini.

Selepas menang bergaya 10-1 ke atas Indonesia semalam, harapan untuk skuad kebangsaan menjuarai edisi pertama ADFC agak tinggi.

Namun berdepan pasukan lawan, skuad Malaysia yang dibimbing jurulatih dari Thailand, Manachan Sitthisarn, gagal menemui ramuan untuk menundukkan pemain negara 'Gajah Putih' itu.

Di akhir perlawanan Malaysia terpaksa berpuas hati menjadi naib juara dan disahkan tumpas 1-3.

Skuad Thailand pula dibimbing jurulatih Pradit Suriwat.

Pada aksi di Stadium Mini Mindef di Kuala Lumpur ‎itu Malaysia tampil garang dengan mendahului seawal minit keempat perlawanan.

Serangan jentera negara terbantut di kawasan kotak penalti apabila pemain tengah, Dojnester Francis‎, dikasari pertahanan lawan.

Susulan sepakan penalti diberikan pengadil ‎berjaya dimanfaatkan Muhammad Rahmatuddin Huzairi untuk kedudukan 1-0.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan memberi saingan sengit.

Dua pengadil, empat bendera

Barisan pemain Malaysia nampak lebih padu, namun percaturan memihak kepada pasukan lawan.

Pasukan pelawat dilihat lebih baik dari aspek kawalan bola ‎dan banyak mengambil peluang melalui serangan balas pantas.

Pemain tengah Thailand, Chiraphan Sirithongsawang muncul penyelamat pasukannya dengan membolosi gol untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-19.

Malah pemain berjersi nombor 12 itu sekali lagi menggembirakan penyokong mereka dengan jaringan kedua ‎10 minit kemudian.

Menjelang detik akhir 45 minit pertama, Danai Mungoomklang terus meletakkan kedudukan lebih selesa ‎dengan gol ketiga Thailand.

Sementara itu babak separuh masa kedua penguasaan ‎kembali didominasi pasukan Malaysia.

Banyak serangan dilakukan ke benteng pertahanan pasukan pelawat, namun hantaran-hantaran panjang mudah diatasi lawan.

Dan beberapa percubaan sekadar mengancam gawang lawan tanpa sebarang jaringan tambahan untuk keputusan 3-1 kekal hingga wisel penamat ditiup pengadil.

Pada perlawanan separuh akhir, Thailand mengalahkan Myanmar 4-1.

Untuk makluman, disebabkan faktor keterbatasan deria pendengaran pemain, peraturan ditetapkan supaya ada dua pengadil dan dua penjaga garisan mengendalikan sesuatu perlawanan.

Untuk memaklumkan sesuatu kesalahan atau keputusan, pengadil perlu meniup wisel dan mengangkat bendera sebagai pemberitahuan.

Ia bermakna ada empat bendera digunakan untuk menguruskan perlawanan bola sepak orang pekak.