Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Murtaza, Messi bertentang mata buat kali pertama
Diterbitkan:  Dec 14, 2016 1:27 PM
Dikemaskini: 5:32 AM

Masih ingat Murtaza Ahmadi yang menarik perhatian dunia kerana menyarung beg plastik yang dibayangkannya sebagai jersi Lionel Messi?

Anak kelahiran Afghanistan itu dikenali ramai di internet apabila gambarnya memakai 'jersi' Messi dimuat naik abangnya di laman sosial.

Gambar itu kemudian menarik perhatian ramai, termasuk Messi sendiri.

Susulan gambar Murtaza yang menyentuh hatinya, pemain terbaik dunia itu mengirim dua pasang jersi beserta sebiji bola ditandatanganinya kepada Murtaza pada Februari lalu.

Kini, Murtaza mendapat kegembiraan berganda apabila berpeluang bertemu sendiri dengan penyerang berbisa kegemarannya itu.

Malah, Murtaza menjadi pengiring ketika Messi melangkah ke padang sebelum sepak mula perlawanan persahabatan antara Barcelona dan kelab Arab Saudi, Al Ahli, awal pagi tadi di Doha.

Dia juga diberi tanggungjawab untuk meletakkan bola di garisan tengah padang sebelum perlawanan berlangsung.

Murtaza kemudian menyaksikan Messi menjaringkan gol ketika membantu Barcelona menewaskan Al Ahli dengan jaringan 5-3.

Difahamkan usaha mempertemukan Murtaza dan Messi itu dibuat melalui jawatankuasa penganjur Piala Dunia Qatar 2022.

 

 

Sementara itu akaun Twitter Road To 2022 memuat naik video detik pertemuan Murtaza dan Messi.

Sebaik dipertemukan, pemain berusia 29 tahun itu dilihat mendukung dan memeluk Murtaza yang memakai jersi Barcelona untuk bergambar.

 


 

Lihat Komen
ADS