FAM hari ini mengesahkan kelab bola sepak PKNS FC akan terus bersaing di arena liga Malaysia musim 2017.

Perkara itu disahkan Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah yang menjelaskan semua pasukan dalam saingan liga itu tertakluk di bawah satu Perjanjian Perkongsian Penyertaan.

Menurut beliau, menerusi perjanjian yang ditandatangani semua pasukan Liga Super dan Liga Perdana bagi penswastaan liga tahun ini, status PKNS tidak terjejas.

"Kita sudah melaksanakan penswastaan liga dan bermakna pasukan yang bertanding merupakan rakan kongsi kepada penswastaan itu melalui satu Perjanjian Perkongsian Penyertaan melalui Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

"Jadi, bawah perjanjian itu menyatakan hak pasukan yang bertanding," katanya kepada media di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.

Afandi berkata, pasukan yang sudah berada dalam Liga super dan Liga Perdana terikat dengan perjanjian tersebut dan status penyertaan mereka hanya akan terjejas melalui dua keadaan.

"Pertama, apabila mereka jatuh ke liga yang tidak berada dalam penswastaan contohnya dari Liga Perdana ke Liga FAM, maka terlucutlah hak mereka untuk beraksi dalam liga Malaysia.

"Kedua, kalau mereka dikenakan tindakan oleh FAM seperti dipecat dan sebagainya, jadi selepas meneliti berdasarkan dua keadaan itu, ia tidak berlaku kepada PKNS malah mereka naik ke Liga Super," jelasnya.

Terdahulu, nasib skuad The Red Ants untuk saingan musim depan dilihat tergantung selepas tidak mendapat sokongan daripada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan memilih bernaung bawah Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor (PBMS).

Langkah itu terpaksa diambil bagi memastikan mereka mendapat sokongan daripada Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) untuk menyertai liga musim depan.

Sementara itu, Presiden PKNS FC Siti Zubaidah Abd Jabar menarik nafas lega dengan keputusan itu sekali gus membolehkan pasukannya fokus terhadap persediaan musim depan.

"Sebenarnya kami masih bergabung dengan FAS dan pada masa sama turut diluluskan penggabungan dengan PBMS. Ia tidak menjadi kesalahan kerana dalam artikel atau statut kedua-dua persatuan. Tidak ada isu kalau ahlinya bergabung lebih dari satu persatuan.

"Bagi saya PKNS sangat lega dengan keputusan FAM dan walaupun isu ini berlarutan sudah lebih dua minggu, pasukan tetap meneruskan persiapan menghadapi musim depan," ujarnya.