ABL: Dragons ranapkan Saigon Heat di Vietnam
Westports Malaysia Dragons akhirnya merekodkan kemenangan pertama apabila mengalahkan Saigon Heat sebanyak tujuh mata, 72-65.
Saigon Heat sebelum ini kalah dalam tiga perlawanan berturut-turut.
Dragons pada mulanya masih mencari langkah menguasai ritma perlawanan pada suku masa pertama dan cepat mendahului Heat dengan 18 mata pada separuh masa pertama, 28-42.
Skylar Spencer dari Dragons menunjukkan 'taring' dengan jaringan 18 mata dan 20 rebounds, suatu prestasi yang jauh lebih baik daripada perlawanan pertama di Singapura.
Spencer yang hanya berumur 22 tahun dan berasal dari Amerika Syarikat, digandingkan dengan veteran import, Marcus Melvin, 34 tahun menyumbang 22 mata termasuk 9 mata dari jaringan tiga mata, 14 rebound dan 3 assist.
"Saya cukup berbangga dan gembira pasukan Dragons mendapat kemenangan kali ini, terutamanya ketika beraksi di luar gelanggang sendiri.
"Saya percaya pemain kita sentiasa bersedia untuk menandingi lawan pada bila-bila masa," kata ketua jurulatih Dragons, Christopher Thomas.
Berkat sinergi dan kekuatan berpasukan Dragons, pasukan Malaysia itu berjaya menundukkan Saigon Heat. Walaupun kekurangan Chris Charles dalam barisan Heat, Herbert Hill tidak mampu mengisi tempat beliau.
Lenny Daniels pula memimpin Heat dengan jaringan 28 mata, 13 rebound dan 2 assist. Daniels kembali bersama Heat untuk musim kedua dengan prestasi yang lebih baik. Tidak disangka-sangka, Joshua Munzon dari Heat merekodkan 17 mata, 6 steal dan 5 rebound.
Munzon antara pemain yang perlu diperhatikan untuk musim ABL kali ini.
Pasukan dari Vietnam itu mula mengorak langkah untuk mencabar penguasaan Dragons dalam permulaan separuh akhir kedua. Heat mengurangkan jurang mata dari 18 ke 13 mata dalam suku ketiga walaupun Dragons masih di hadapan dengan 58-45.
Bendera merah mula terpacak pada suku keempat perlawanan. Heat menukar strategi serangan ke full-court press dan semakin menghampiri Dragons. Hampir empat minit masuk suku keempat, Dragons hanya dapat menjaringkan tiga mata dari Loh Shee Fai manakala David Arnold dan Lenny Daniels dari Heat menidakkan penguasaan Dragons dengan enam mata.
Pada masa empat minit terakhir, Heat semakin menghampiri Dragons, 65-55. Nasib tetap menyebelahi pasukan Malaysia walaupun diasak bertubi-tubi, mereka tetap bertahan dengan strategi pertahanan untuk melengahkan masa sehingga saat terakhir.
Bercakap dengan Malaysiakini dalam satu mesej, ketua pasukan Dragons Ma Chee Kheun yang juga berasal dari Sarawak menganggap kemenangan ini dapat menyuntik semangat baru untuk Dragons.
"Kami berjaya mempertahankan gelanggang dan seperti yang disarankan oleh jurulatih (Christopher Thomas), kami lakukannya bersama dalam 40 minit perlawanan,
"Heat memberi cabaran yang baik untuk Dragons, tetapi kami tetap berpandukan sistem dan berusaha menguasai gelanggang. Saya merasakan pertahanan kami kali ini cukup baik. Walaupun pemain tempatan masih kurang dari segi jaringan mata, tetapi kami dapat membantu menguatkan pertahanan pasukan. Banyak lagi untuk Dragons perbaiki sebelum Januari depan," kata Ma kepada Malaysiakini.
Singapore Slingers akan bertemu Alab Pilipinas esok pada pukul 6 petang dan Hong Kong Eastern Lions pada 22 December sebelum musim berehat sempena cuti Krismas dan Tahun Baru.
Malaysia Dragons akan berentap dengan Singapore Slingers pada 6 Januari 2017, 8 malam di Gem In Mall, Cyberjaya.

