Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Gambar Schumacher uzur bernilai RM5.5 juta
Diterbitkan:  Dec 20, 2016 1:54 PM
Dikemaskini: Feb 14, 2018 11:35 AM

Gambar pertama legenda Formula 1 Michael Schumacher sejak kemalangan kini dilaporkan diperoleh seseorang dan imej eksklusif - dan mengejutkan - itu kini ditawarkan pada harga £1 juta (RM5.5 juta).

Media melaporkan, gambar tersebut memaparkan Schumacher terbaring di atas katil dan dikatakan dirakam kali pertama sejak kemalangan ngeri menimpanya pada 2013.

Tahap kesihatan raja litar lumba itu menjadi tanda tanya umum susulan kemalangan ski yang hampir meragut nyawanya. Sehingga kini tiada sebarang gambar atau video keadaannya sejak kemalangan tragis itu.

Ketika keadaannya menjadi rahsia, seseorang yang disyaki rapat dengan pelumba F1 itu bertindak menyeludup keluar gambar tersebut dari kediaman Schumacher di Geneva, Switzerland, lapor The Sun memetik laporan RTL.

Schumacher bersara dari dunia Formula 1 pada tahun 2006 selepas menjuarai lima kejuaraan dunia berturut-turut bersama Ferrari dan dua kejuaraan dunia sebelumnya bersama Benetton.

Selepas berehat selama empat tahun, Schumacher kembali beraksi dalam sukan kegemarannya itu pada tahun 2010 bersama pasukan Mercedes namun kembali bersara semula tahun lalu selepas tidak berjaya bersama pasukan barunya itu.


Baca: Linda tak pernah lelah temani Rossi


Pengurusnya Sabine Kehm ketika diminta mengulas isu tersebut bagaimanapun enggan berbuat demikian.

"Kesihatan Michael (Schumacher) bukan isu awam dan sebab itu kita tidak akan mengulas mengenainya," katanya.

RTL melaporkan gambar tersebut telah dirakam tanpa izin memaparkan Schumacher terbaring di atas katil di kediamannya.

Pihak pendakwa raya Jerman menyifatkan tindakan tersebut adalah melanggar "sisi keperibadian hidup" bekas pelumba Ferrari itu dan perkara itu sedang disiasat.

Sementara itu, media yang ditawarkan gambar tersebut dikatakan enggan mendedahkan sumber yang memaklumkan wujudnya gambar itu kepada mereka.

Insiden 29 Disember 2013 menjadi tarikh hitam dalam hidup Schumacher selepas mengalami kecederaan parah di bahagian otak sekali gus koma sebelum sedarkan diri pada Jun 2014.

Pada September 2014, dia dipindahkan dari pusat perubatan ke rumah keluarganya dalam keadaan masih lumpuh. Namun sehingga kini tiada maklumat rasmi mengenai keadaannya.

Lihat Komen
ADS