Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Otai harap MB tidak beri dana negeri untuk FAS
Diterbitkan:  Dec 22, 2016 11:45 AM
Dikemaskini: 3:59 AM

Kumpulan aktivis Otai Reformasi 1998 menyokong pendirian Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk tidak mengeluarkan dana kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Pengerusinya Saari Sungib berkata, pihaknya berpendapat bahawa dana sejumlah itu masih diperlukan secara kritikal bagi menggerakkan program-program kebajikan bagi rakyat.

"Otai Reforrmis juga ingin membangkitkan di sini bahawa pada tahun ini (2016) saja kerajaan negeri telah membelanjakan hampir RM23 juta kepada FAS.

"FAS selayaknya menjelaskan bagaimana wang tersebut digunakan," katanya dalam kenyataan bersama setiausahanya, Abdul Razak Ismail.

Terdahulu, skuad bola sepak Selangor berdepan kemungkinan menarik diri daripada saingan liga Malaysia musim depan susulan masalah kewangan dihadapi FAS.

Skuad Red Giant Selangor dilaporkan memerlukakan sekurang-kurangnya RM15 juta melalui FAS menjelang liga Malaysia yang dijadualkan bermula 21 Januari nanti.

Saari yang juga ahli dewan undangan negeri (Adun) Hulu Kelang berkata, Otai Reformis juga mempunyai pandangan yang sama dengan Mohamed Azmin selaku presiden FAS bahawa sudah tiba masanya persatuan itu mencari dana sendiri.

Kemelut kewangan melanda FAS selepas kerajaan negeri melalui pembentangan Belanjawan Selangor 2017 pada Oktober lalu tidak menyediakan peruntukan kepada pembangunan bola sepak negeri.

Selain Selangor, isu kewangan turut dialami pengurusan bola sepak Kelantan dan Perlis yang dilaporkan berdepan kemungkinan besar tidak menyertai liga 2017.

Bagaimanapun, isu dihadapi Kelantan semakin menemui jalan penyelesaikan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta bekas presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa menyelesaikan masalah bola sepak Kelantan.

Lihat Komen
ADS