Paling Popular
Terkini
story images
story images

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), tetap yakin skuad negeri itu akan kekal bersaing dalam liga Malaysia pada musim depan.

Timbalan Presiden FAS Datuk Mokhtar Ahmad berkata beliau meletakkan kepercayaan tinggi kepada kerajaan negeri dan Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali untuk membantu The Red Giants dari segi kewangan.‎

"Tiada istilah Selangor mengancam untuk tarik diri, sebab saya yakin kerajaan negeri dan menteri besar akan membantu Selangor.

"Tidak mungkin menteri besar dan kerajaan negeri akan sisihkan skuad Selangor.

"Saya juga yakin Selangor akan bersaing dalam liga Malaysia musim depan," katanya ketika dihubungi semalam.

Selangor sebelum ini dilaporkan mengancam untuk menarik diri daripada saingan liga Malaysia.

Difahamkan, antara isu yang membelenggu pasukan itu ialah ketiadaan dana daripada kerajaan negeri serta masalah penaja.

FAS bagaimanapun menafikan laporan itu, sebaliknya menjelaskan mereka masih menunggu keputusan Azmin.

Mokhtar berkata mereka sudah mendaftarkan pasukan Selangor untuk bersaing seperti biasa pada musim depan.

"Kami tidak sewenang-wenangnya menarik diri," katanya.

Beliau yang juga timbalan presiden FAM berkata, FAS kini menunggu jumlah peruntukan yang akan diberikan kepada persatuan itu.

"Apa yang penting FAS perlu bijak, kalau dapat RM12 juta contohnya, kita tidak boleh berbelanja macam RM20 juta," kata Mokhtar.‎

Tambahnya, kepayahan dihadapi Selangor musim ini memberi pengajaran betapa FAS perlu lebih berdikari terutama untuk mencari dana sendiri.

"Memang kemelut kali ini memberi pengajaran kepada FAS dan saya harap ia menjadi tapak untuk kami lebih berdikari selepas ini.

"Malah, kita juga dalam proses menswastakan bola sepak Selangor dan mungkin pada 2018 ia diswastakan sepenuhnya," katanya.

Lihat Komen
ADS