Chapecoense bangkit selepas insiden pesawat terhempas
Selepas insiden tragis kapal terbang terhempas yang mengorbankan sebahagian besar pemainnya 28 November lalu, kelab bola sepak Brazil - Chapecoense kini mula bangkit.
Skuad yang beraksi dalam liga Serie A negara itu kini mengadakan proses pemilihan pemain besar-besaran.
Hanya tiga pemain mereka yang dilaporkan selamat iaitu dua pemain pertahanan, Neto dan Alan Ruschel serta penjaga gol simpanan, Jackson Follmann.
Namun, Neto dan Ruschel sahaja kemungkinan akan kembali beraksi selepas pulih dari kecederaan, manakala Follmann yang mengalami kecederaan teruk bahagian kaki terpaksa bersara.
"Pada musim ini tidak ada pemain yang akan pakai jersi dengan nombor milik Jackson Follmann, Neto dan Alan Ruschel," kata Pengarah Bola Sepak Chapecoense, Rui Costa seperti dilaporkan Sky Sports.
"Bukan sekadar faktor penghargaan, kami berharap Alan dan Neto kembali dan memakai jersi asal mereka.
"Sayangnya mustahil bagi Follmann, tetapi dia pastinya akan kembali ke sini dan bersama kami atas kapasiti tertentu. Yang boleh menggunakan nombor jersi itu hanya mereka," kata Costa.
Terdahulu pesawat yang disewa itu dikendalikan syarikat Bolovia, LAMIA, berlepas dari Santa Cruz, Bolovia membawa rombongan Chapecoense untuk mengharungi perlawanan akhir Piala Copa Sudamericana.
Malang menimpa mereka apabila pesawat tersebut nahas di kawasan pergunungan Medellin, Colombia.
Chapecoense sebelum ini telah melantik Vagner Mancini sebagai jurulatih baru bagi menggantikan Caio Junior yang turut terkorban.
Dalam proses membangunkan semula pasukan, skuad Big Green itu mendapat tawaran pinjaman pemain daripada kelab-kelab tempatan lain.
"Kami sedang menyusun daripada banyak tawaran. Ia sebagai cara untuk dibawa bersama kualiti, kepantasan dan belanjawan. Banyak kelab yang menjadi rakan kongsi dalam hal ini.
"Kami mengenalpasti 90 pemain, dipilih menjadi 50 sebelum disenarai pendek kepada 38 pemain.
"Kami ada satu pasukan lengkap menjelang pramusim dan mungkin akan mempunyai pemain antara 25 hingga 27 orang," katanya.
Chapecoense akan memulakan latihan pramusim pada Jumaat ini dengan kehadiran pemain baru dan pemain yang tidak menyertai mereka ketika insiden nahas itu.

