Paling Popular
Terkini

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sedang menunggu bentuk bantuan yang bakal dihulurkan kerajaan negeri bagi membolehkan Kelantan terus kekal beraksi dalam saingan liga Malaysia musim ini.

Pemangku Presiden Kafa Datuk Seri Afandi Hamzah berkata hari ini adalah hari terakhir bagi kerajaan negeri menyatakan bentuk bantuan yang akan diberikan kepada Kafa yang sedang menghadapi masalah kewangan kritikal.

"Setakat ini, kita masih berpegang kepada hasil perbincangan antara Kafa dan kerajaan negeri sebelum ini dan Kafa sudah memberikan segala penjelasan mengenai masalah kewangan yang dihadapi," katanya kepada pemberita di Kota Bharu, semalam.

Turut hadir bekas Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa yang enggan memberi sebarang ulasan berhubung isu kewangan badan induk sukan bola sepak negeri ini.

Kafa akan memutuskan sama ada kekal atau menarik diri daripada menyertai liga Malaysia pada Jumaat ini (esok) iaitu hari terakhir pendaftaran pemain dalam liga tersebut.

Persatuan itu dilaporkan mahu menarik diri daripada Liga-M 2017 memandangkan Kafa hanya mempunyai RM800,000 hasil sumbangan penaja kecil sedangkan mereka memerlukan kira-kira RM15 juta untuk kos keseluruhan pasukan itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abd Fattah Mahmood berkata kerajaan negeri bercadang tidak mengenakan cukai hiburan bagi perlawanan liga di negeri ini.

Beliau berkata kerajaan negeri ingin melihat Kelantan kekal beraksi dalam liga Malaysia dan tidak ingin memberikan sebarang tekanan kepada Kafa.

"Kita akan berusaha membantu dan mana-mana penaja yang ingin menaja diharap akan terus kepada Kafa. Kita juga akan menghubungi pihak penaja untuk dilakukan perbincangan," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS