Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Zainal: Hingga kini tiada surat rasmi saya dipecat
Diterbitkan:  Jan 5, 2017 1:41 PM
Dikemaskini: 5:53 AM

Bekas Ketua Jurulatih The Red Giants, Zainal Abidin Hassan mendakwa tidak menerima layanan adil ketika dipecat Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pada Ogos tahun lalu.

Zainal berkata dia ibarat digantung tidak bertali dan tidak boleh melatih pasukan lain kerana masih memiliki kontrak bersama FAS.

Legenda bola sepak negara itu mendesak pihak pengurusan FAS 2016 yang diketuai presidennya Datuk Seri Azmin Ali dan pengurus pasukan Amirudin Shari agar bersikap profesional dalam menangani isu pemecatannya.

“Saya hanya mahu perjuangkan hak sebagai bekas jurulatih Selangor seperti yang dimuktamadkan dalam kontrak. Walaupun kontrak saya sehingga bulan November 2017 iaitu selama dua tahun, tetapi ia ditamatkan pada Ogos, 2016.

“Memang satu Malaysia tahu saya dipecat, apa yang saya mahu surat pemecatan itu supaya saya ada bukti saya dipecat dan saya boleh membuat langkah kedua," katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Kata Zainal, sehingga hari ini dia tidak menerima surat pemecatan rasmi daripada FAS biarpun pernah memintanya seminggu selepas dipecat.

“Secara jujur walaupun saya telah dipecat namun saya tidak menerima surat rasmi yang mempunyai logo FAS menyatakan saya dipecat.

“Sebagai jurulatih profesional, saya menerima pemecatan saya tetapi (FAS) berjanji akan melunaskan baki gaji saya seperti yang termaktub dalam kontrak selepas rayuan saya ditolak,” kata Zainal dalam sidang akhbar di kediamannya di Shah Alam, semalam.

Diberitahu melalui SMS

Dia sebaliknya hanya diberitahu mengenai pemeca­tan itu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh Mohamed Azmin kepada Penolong Pengurus, Noor Hisham Mohd. Ghouth.

Lebih memeritkan, bekas pengendali Pahang itu menjelaskan bahawa gaji bulan November dan Disember masih belum diterima, yang mana sepatutnya pihak FAS perlu melangsaikan pampasan baki kontraknya sekali gus selepas dipecat serta merta pada 6 Ogos tahun lalu.

Zainal dilantik sebagai Ketua Jurulatih Selangor pada awal musim Liga Malaysia 2016 bagi menggantikan Mehmet Durakovic, tetapi dipecat pada 6 Ogos sejurus selepas Selangor tewas 1-0 kepada Kedah dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman.

Keesokannya pada 7 Ogos, satu kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Amirudin menerusi Facebook menyatakan jurulatih itu dipecat serta merta dan diganti buat sementara oleh K. Gunalan.

“Selepas tamat perlawanan menentang Kedah, saya telah dipanggil oleh Penolong Pe­ngurus iaitu Hisham dan dia memaklum pemecatan saya atas arahan Presiden (Azmin) menerusi SMS yang ditunjukkan kepada saya," katanya.

Menurut Zainal lagi, selepas pemecatannya dia telah berjumpa Amirudin lebih daripada tiga kali dan bekas pengurus Selangor itu memohon sedikit masa untuk berbincang dengan pihak pengurusan FAS 2016 serta Presiden bagi menyelesaikan tuntutannya.

“Dalam minggu ini saya ada hubungi Presiden bagi menyelesaikan masalah saya. Alhamdullilah saya dapat SMS daripada pihak presiden untuk berurusan dengan pengurus pasukan dan dapat bersua dengan Amirudin,” ujarnya.

 

Lihat Komen
ADS