Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Mufti ingatkan Faiz 'jangan lupa di mana bermula'
Diterbitkan:  Jan 10, 2017 3:45 PM
Dikemaskini: 10:12 AM

Kejayaan Faiz Subri mengharumkan nama negara dengan merangkul Anugerah Puskas Fifa 2016 di Zurich, Switzerland awal pagi tadi turut mendapat perhatian golongan ulama.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sempat memberi peringatan kepada pemain Pulau Pinang itu supaya tidak melupakan asal-usul di sebalik kejayaan itu.

"Sejujurnya, kami mengikuti perkembangan Anugerah Puskas Fifa dan ternanti-nanti keputusannya.

"Melihat kejayaan saudara Faiz Subri ini, kami amat gembira dan bersyukur kepada Allah," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Terdahulu, Faiz menewaskan dua pencabarnya iaitu Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez untuk meraih anugerah yang julung kali dimenangi pemain Portugal, Cristiano Ronaldo pada 2009.

Kejayaan itu menyaksikan Faiz mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama dikurniakan anugerah yang dinamakan sempena legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas, yang menikmati kejayaan hebat bersama pasukan Real Madrid pada 1950-an dan 60-an serta bersama pasukan kebangsaan negara beliau.

Proses pemilihan pemenangan yang ditentukan melalui undian itu memihak kepada Faiz dengan meraih 59.46 peratus undian, manakala Marlone (22.86 peratus) dan Rodriguez (10.01 peratus).

Zulkifli berkata, kejayaan ini akan terus menginspirasikan anak-anak muda di luar sana yang bergiat aktif dalam bola sepak.

"Syabas kami ucapkan dan teruskan mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

"Setinggi mana kita dijulang, jangan lupa di mana kita bermula. Tahniah Faiz," katanya.

Lihat Komen
ADS