Paling Popular
Terkini
story images
story images

Malaysia Dragons kalah dalam dua perlawanan menentang Singapore Slingers minggu lalu dan pasukan dari seberan selat itu juga berjaya merampas Piala Straits yang diadakan buat kali kedua di Liga Bola Keranjang Asean (ABL).

Piala Straits julung-julung kalinya diperkenalkan pada musim yang lalu dan Dragons muncul sebagai pemenang siri perlawanan antara dua negara itu.

Pasukan Malaysia turun ke gelanggang dengan misi mahu menebus kekalahan enam mata ketika perlawanan pertama di Cyberjaya pada 6 Januari lalu. Namun harapan tinggal harapan.

Pada perlawanan kedua 8 Januari, Dragons kempunan selepas dipisahkan dengan Slingers dengan satu mata saja. Slingers menang tipis 78-77.

Dragons kini jatuh ke tangga keempat selepas Alab Pilipinas mengalahkan Kaohsiung Truth pada hari yang sama dengan mata 86-77.

Dalam pertemuan ketiga dengan Slingers, Dragons memulakan asakan awal dan menguasai separuh masa pertama tetapi tidak mampu mengekalkan rentak serangan, manakala pertahanan pula begitu rapuh hingga memberi laluan terlalu mudah buat lawan.

Pasukan Singapura itu memaksa perlawanan itu berlanjutan ke masa tambahan pertama apabila mereka terikat 59-59. Selepas masa tambahan, kedua-dua pasukan tetap terikat sekali lagi dengan mata 68-68.

Dengan pengalaman sedia ada, pemain Slingers yang telah bersama sejak beberapa musim itu akhirnya berjaya juga menjarakkan diri daripada Dragons.

Satu mata cukup untuk mereka menjadi pemenang.

Tidak dapat dinafikan, kekalahan kali ketiga Dragons kepada Slingers memberi tamparan cukup hebat kepada pasukan Malaysia selaku juara bertahan.

Semua akan baik saja

Namun perlu difahami, barisan pemain Dragons adalah antara yang paling muda dalam ABL dan masih perlukan masa mencari momentum yang betul.

Jika dibandingkan dengan prestasi Dragons sebelum ini, memang ada perbezaan yang amat ketara dari segi corak permainan dan juga kesinambungan serangan serta pertahanan.

Di sebalik prestasi kurang konsisten pemain tempatan - dan hanya berjaya menyumbangkan lapan mata berbanding lebih 20 pada perlawanan Jumaat - ia memang cukup meresahkan peminat Dragons.

Bercakap dengan Malaysiakini selepas perlawanan Ahad lalu, pemain veteran kebangsaan Loh Shee Fai mengakui pasukan Dragons kelihatan lebih baik di atas kertas tetapi ia belum memadai, terutamanya jika diukur kepada kemampuan pemain tempatan.

"Mereka masih muda dan perlu bersedia menghadapi perlawanan sengit.

"Tidak ramai pemain baru pernah bermain dalam perlawanan yang cukup sukar, tetapi saya percaya mereka akan menyesuaikan diri selepas beraksi dalam beberapa perlawanan seterusnya," ujar beliau.

Dengan nada positif pula, Ketua Jurulatih Dragons Christopher Thomas pula menyatakan kesediaan anak buahnya menghadapi perlawanan dengan Hong Kong Eastern Long Lions esok.

Long Lions kini menduduki tempat kedua dengan 4-1 berbanding dengan tempat pertama liga, Singapore Slingers dengan 7-1.

"Hong Kong adalah pasukan terbaik pada pandangan saya. Pemain mereka dilatih dengan baik dan boleh beraksi dengan efektif dalam pasukan.

"Marcus Elliot merupakan seorang pemimpin yang cukup hebat dalam pasukan itu. Saya amat tertarik dengan corak permainannya dan pemain kita, Freddie Goldstein akan menghadapi cabaran getir berdepan Elliot. Tiada masalah, saya percaya Goldstein dapat menanganinya," kata Thomas.

"Tyler Lamb pula adalah antara pemain sayap yang terbaik dalam ABL kali ini. Ketangkasan pergerakan dan pemahaman dalam gelanggang beliau seolah-olah seperti bekas pemain NBA yang pernah saya latih, Luol Deng.

"Satu-satunya perbezaan antara mereka berdua - Tyler lebih mahir dalam jaringan perimeter!" kata Thomas kepada Malaysiakini.

Long Lions yang kini berebut untuk kedudukan pertama pernah dikalahkan Slingers 71-77 pada Disember lalu dan menjadi antara pasukan diuar-uarkan akan layak ke perlawanan separuh akhir playoffs nanti.

Dua pasukan teratas liga ini dilihat agak sukar ditawan. Dan walaupun Dragons layak ke siri playoffs nanti, mereka masih perlu berdepan salah satu daripada pasukan tersebut untuk ke perlawanan akhir.

Dragons akan bertemu Long Lions di Stadium Southorn, Wan Chai pada jam 8 malam esok.

Lihat Komen
ADS