Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Selepas dinamakan sebagai orang lebih layak menerajui FAM, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata barisan menteri persekutuan dihalang daripada menjawat sebarang jawatan dalam persatuan sukan tempatan.

"Keputusan jemaah menteri buat masa ini melarangan menteri persekutuan memegang jawatan dalam persatuan sukan," katanya kepada pemberitaan selepas perasmian penutup Karnival Kewangan Bank Negara Malaysia di PWTC, Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun kata Khairy, mana-mana menteri yang mahu memegang jawatan dalam persatuan sukan tempatan boleh mendapatkan kebenaran daripada perdana menteri atau kabinet.

"Jadi sesiapa saja menteri yang nak pegang jawatan dalam persatuan sukan terutamanya persatuan sukan kebangsaan, dia mesti dapat kebenaran perdana menteri atau jemaah menteri sebelum bertanding apa-apa jawatan persatuan sukan," jelasnya.

Anggota Parlimen Rembau itu berkata demikian ketika diminta mengulas pojok Awang Selamat di Mingguan Malaysia hari ini yang menamakan beliau sebagai calon jawatan presiden FAM.

Jawatan yang dikosongkan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah itu turut menjadi perhatian ramai. Selain Khairy, tokoh yang disebut-sebut untuk mengisi jawatan berkenaan ialah Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa.

"Banyak pilihan yang lebih baik untuk presiden FAM selain daripada bekas Presiden Kafa (Annuar) dan Pemilik JDT, Tunku Ismail," tulis Awang Selamat, nama samaran kolektif untuk editor akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Annuar yang meletak jawatan sebagai Presiden Kafa Disember lalu dilaporkan menyatakan minat untuk bertanding jawatan tertinggi FAM.

Tunku Ismail sebelum ini juga telah dinamakan sebagai salah seorang individu yang mungkin bertanding bagi jawatan itu.

Sementara itu, Khairy enggan mengulas lanjut kontroversi penajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Universiti Kuala Lumpur kepada pasukan bola sepak Kelantan.

"Saya percaya Tan Sri Annuar telah menjawabnya," katanya.

Terdahulu, Terdahulu TMJ melalui pendedahannya mendakwa Annuar 'secara paksa' menggunakan duit rakyat melalui MARA dan UniKL menaja skuad bola sepak Kelantan.

Annuar bagaimanapun menafikan perkara itu sebelum akur kepada arahan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah supaya sebarang penajaan sukan melalui dua organisasi itu ditangguhkan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS