Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Annuar tak minat saman pihak memfitnahnya
Diterbitkan:  Jan 16, 2017 12:27 PM
Dikemaskini: 5:09 AM

Bekas presiden Persatuan Bola Sepak kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa tidak berminat untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap individu yang menuduhnya menggunakan duit rakyat termasuk daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) sama ada untuk kegunaan bola sepak ataupun peribadi.

Annuar yang juga pengerusi MARA berkata, sekiranya tindakan undang-undang diambil akan memberi maksud beliau perlu memberi komitmen terhadap prosiding mahkamah, oleh itu lebih baik beliau mengambil pendirian pandang ke hadapan.

"Kalau ikutkan sudah ramai saya boleh dakwa kerana mereka telah memfitnah saya. Kalau anda tuduh saya mengambil duit rakyat untuk kegunaan peribadi, itu fitnah.

"Lebih-lebih lagi orang macam saya, wakil rakyat, ahli parlimen, mana boleh saya bebas pergi ke mana-mana dengan mencuri duit orang lain. Mana boleh saya salah guna dana," katanya seperti dilapor akhbar Utusan Malaysia, hari ini.

Terdahulu, Terdahulu Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim melalui pendedahannya mendakwa Annuar 'secara paksa' menggunakan wang rakyat melalui MARA dan UniKL untuk menaja bola sepak Kelantan.

Beberapa dokumen melibatkan penyaluran dana daripada dua organisasi itu kepada The Red Warriors turut didedahkan.

Anggota Parlimen Ketereh itu berkata, tidak layak menggunakan gelaran Yang Berhormat sekiranya duit tabung pendidikan disalahgunakan untuk bola sepak.

Menurut Annuar, dia boleh memilih untuk 'bergaduh' dengan pihak yang menuduhnya, tetapi perkara itu tidak perlu kerana akan memakan masa untuk turun naik mahkamah sehingga mengganggu tugas lain.

"Kalau mahu tentukan apa yang perlu lakukan, bawa kes ke mahkamah. Tidak mengapa, biar saya dilanyak sebab saya tidak mahu bergaduh dengan sesiapa.

"Saya ada memberitahu Kafa, jika ada mana-mana penaja guna tabung pendidikan termasuk MARA, saya cadangkan kongsi (maklum) dengan saya dan kita bayar balik.

"Tapi buktikan saya telah menggunakan tabung pelajaran atau biasiswa yang ada dalam MARA. Tidak mengapa (ambil tindakan undang-undang).

"Tidak semestinya kena bertindak balas dengan setiap tuduhan. Saya sudah lali, sebab saya orang politik," katanya dipetik sebagai berkata sambil menasihati supaya tuduhan dilemparkan kepadanya dikaji terlebih dahulu.

 

Lihat Komen
ADS