Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Piala Sumbangsih diterbangkan Helang Merah
Diterbitkan:  Jan 20, 2017 11:16 PM
Dikemaskini: 4:33 PM

Hasrat JDT untuk mengukir rekod baru kancah bola sepak tanah air dengan merangkul Piala Sumbangsih tiga musim berturut-turut berkecai.

Saingan yang berakhir dengan penentuan sepakan penalti ternyata memberi tuah kepada pasukan Kedah dengan keputusan 5-4.

Kegagalan pemain import JDT, Brian Ferreira menyempurnakan sepakan penaltinya membolehkan juara Piala Malaysia 2016 meraikan kejayaan awal mereka musim ini.

Selepas terikat 1-1 dalam 90 minit perlawanan, Piala Sultan Haji Ahmad Shah itu diterbangkan skuad Helang Merah ke utara Tanah Air pada aksi pembukaan Liga Super 2017, sebentar tadi.

Aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin itu menyaksikan pasukan tuan rumah mendominasi awal permainan, manakala Kedah seperti kurang yakin mengatur rentak dan taktikal mereka.

Anak buah Benjamin Mora kelihatan lebih agresif dalam aspek serangan dengan percubaan demi percubaan menguji benteng pertahanan pasukan pelawan.

Kedah bagaimanapun seperti menyedari tekanan tinggi dihadapi mereka sekali gus tampil mengimbangi serangan lawan dengan serangan yang tertumpu di posisi sayap.

Namun, kesilapan pemain pertahanan Kedah yang disifatkan pengadil menjatuhkan penyerang lawan dalam kotak penalti memberi padah buat skuad bimbingan Tan Cheng Hoe.

Insiden pada minit ke-41 itu sekali gus menghadiahkan sepakan penalti kepada rumah rumah yang disepurnakan kapten JDT, Safiq Rahim untuk kedudukan 1-0.

Beberapa minit berselang di minit-minit akhir separuh masa pertama itu, nasib malang pula menimpa penyandang juara Liga Super.

Ia susulan kekasaran dikesan dilakukan S Kunalan terhadap penyerang Kedah, Fakhri Saarani berhampiran garisan kotak penalti menyebabkan pengadil memberikan kad kuning kedua dan kad merah kepada pemain tersebut. 

Aksi bersambung separuh masa kedua, rentak permainan pasukan Kedah semakin memberi tekanan untuk JDT yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Beberapa insiden kekasaran dilihat menjadikan perlawanan lebih beremosi di sebalik aksi berbalas serangan.

JDT tampil menguasai ruang tengah, manakala Kedah lebih selesa mengatur serangan di bahagian sayap.

Hasilnya, umpanan kepada kapten Baddrol  Bakhtiar berjaya menghasilkan gol penyamaan melalui rembatan kencang menewaskan penjaga gol JDT, Farizal Marlias pada minit ke-63.

Keputusan seri 1-1 mengekal rekod tanpa kalah JDT sejak musim lalu dan kedua-dua pasukan membawa pulang satu mata pertama musim ini.

 

 

 

Lihat Komen
ADS