Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
'Pilih yang boleh memimpin, bukan orang kita suka'

"Pilih calon yang benar-benar boleh memimpin FAM dan mengangkat bola sepak negara ke tahap yang disegani."

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata FAM memerlukan presiden yang mampu membina dan membangunkan semula bola sepak negara agar dapat muncul semula sebagai sebuah pasukan yang digeruni.

"Pilih orang yang benar-benar boleh memimpin, bukannya pilih orang yang kita suka. Tapi, kebanyakan kita pilih orang yang kita suka. Itu yang kadang-kadang pening sebab kita tidak pilih orang yang boleh memimpin.

"Kita tidak pilih orang yang pakar dalam bidang tersebut, sebaliknya pilih orang yang kita suka, yang kita kenal..... lama-lama dia tidak buat kerja, lepas itu kita marah. Itu yang membuatkan semua kelam-kabut," katanya kepada pemberita di Seremban, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pemilihan bagi merebut jawatan presiden FAM.

Isnin lalu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengumumkan senarai empat nama yang dicalonkan gabungan persatuan itu bagi merebut jawatan presiden badan induk tersebut pada Kongres FAM ke-53 pada 25 Mac depan.

Empat tokoh berkenaan ialah bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa; pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim; bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga menteri besar Negeri Sembilan berkata, anggota gabungan FAM perlu memilih orang yang boleh memimpin dan mempunyai visi yang mampu meningkatkan bola sepak negara ini.

"Itulah sebabnya elok FAM berunding dengan persatuan bola sepak negeri-negeri. Panggillah kita (persatuan bola sepak negeri-negeri) berunding untuk memilih siapa yang kita fikirkan layak. Kita beri pandangan dan dapatkan suara majoriti.

"Kalau betul rundingnya, kita beri mandat kepada yang telah dipilih itu. Macam tu caranya.... ini pakai lepas begitu sahaja," katanya.

Menurut Mohamad, perubahan drastik diperlukan dalam FAM kerana ranking ke-168 skuad negara ketika ini adalah lebih teruk dari Bhutan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS