T'ganu sangat kecewa, sedia jumpa penganjur
"Saya sedia berjumpa dengan penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) untuk berbincang," tegas Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Terengganu Datuk Rozi Mamat.
Rozi berkata pihaknya sangat kecewa dengan tindakan penganjur LTdL menggugurkan laluan perlumbaan tersebut di negeri berkenaan dan menganggap keputusan tersebut seperti pilih kasih.
"Saya sangat kecewa dengan tindakan penganjur. Saya tidak diberitahu secara rasmi, hanya tengok melalui media massa yang mereka mengubah laluan daripada laluan asal dan tidak melalui Terengganu.
"Ini tindakan pilih kasih penganjur kepada Terengganu sedangkan kita banyak menyumbang dalam pembangunan sukan basikal untuk negeri dan negara.
"Kita bukan belanja sedikit setiap tahun, malah hampir 30 kejohanan di luar dan dalam negara semua kerajaan negeri tanggung," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Rozi berkata pihak penganjur LTdL sepatutnya berbincang dengan kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum membuat keputusan mengubah laluan perlumbaan berkenaan.
"Sepatutnya mereka (penganjur) bincang dulu. Saya tidak dimaklumkan secara rasmi, cuma dimaklumkan mengenai penajaan. Kerajaan negeri bukan tak nak menaja, cuma sekarang kita dalam ekonomi yang tidak menentu.
"Saya yakin ada negeri yang tidak menaja pun... tapi kita dah taja beberapa tahun dan telah berjuta ringgit kita habis. Memang saya rasa sangat kecewa dengan perkara ini," katanya.
Rozi berkata walaupun tidak dapat memberi penajaan dari segi wang ringgit pada LTdL kali ini, kerajaan negeri bersedia membantu dari segi kemudahan lain sewaktu perlumbaan tersebut berlangsung di negeri ini.
"Mengenai penajaan, kita sudah maklumkan kepada mereka dahulu, kita akan cuba sebab dalam keadaan ekonomi hari ini, kita tak boleh nak janji. Tapi kemudahan lain di Terengganu sewaktu kejohanan, kita akan bantu, cuma wang tunai sahaja yang menjadi pertikaian.
"Kemudahan ini pun kita beri kepada agensi lain sebelum ini, malah kerja-kerja mencuci jalan kita taja. Insya-Allah saya akan berusaha untuk berjumpa dengan penaja dan kita tengoklah macam mana," katanya.
- Bernama

