Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Rahsia gerak kening TMJ
Diterbitkan:  Jan 31, 2017 5:38 PM
Dikemaskini: 10:19 AM

Hanya beberapa jam selepas Tan Sri Annuar Musa digantung jawatannya dalam Majlis Amanah Rakyat, Tengku Mahkota Johor memuat naik klip video pendeknya yang mencetuskan tanda tanya.

Hanya sepanjang empat saat, video tanpa dialog itu jelas mengundang pelbagai rasa.

Pada klip itu Tunku Ismail Sultan Ibrahim hanya senyum sinis dan mengangkat keningnya.

Sebelum ini memang diketahui ramai Tunku Ismail dan Annuar saling berbalas kenyataan - walaupun secara tidak langsung atau memetik sebarang nama.

Ketika skuad JDT tumpas di tangan Kedah bagi merebut Piala Sumbangsih, Annuar memuat naik status sinis di media sosial dengan menggunakan emoticon ketawa seolah-olah menyindir kelab milik Tunku Ismail itu.

Sejak berita penggantungan Annuar dilaporkan media hari ini, memang dijangkakan Tunku Ismail akan memberi reaksi sama ada secara langsung atau tidak.

Malah tindakan MARA ke atas Annuar itu dilihat berpunca daripada pendedahan Tunku Ismail berkaitan penajaan syarikat Pelaburan MARA dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk skuad bola sepak Kelantan. Tunku Ismail memuat naik kenyataan itu pada 12 Januari lalu.

Annuar pada awalnya menafikan pendedahan itu.

Menulis di Facebook, Ketua Penerangan Umno itu berkata "MARA tidak pernah menaja" walau satu sen pun untuk skuad The Red Warriors (TRW).

Penggunaan logo 50 Tahun MARA pada bahagian lengan jersi pasukan TRW itu pula, kata Annuar, dipamerkan secara percuma walaupun ia bernilai RM250,000.

Namun, keesokan harinya Annuar memberi kenyataan berbeza.

Bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu berkata, beliau "difahamkan” terdapat surat menyurat, baucar dan dokumen lain antara The Red Warrior Sdn Bhd dan UniKL.

“Bagi saya, kita ucapkan terima kasih atas edaran itu kerana ia menunjukkan kedua-dua pihak lakukan dengan begitu teratur. Ada surat tawaran, ada rundingan dan tawar menawar, ada kontrak, ada baucar, ada resit dan lain-lain.

“Saya percaya bukan dengan UniKL sahaja tapi semua penaja lain. Semuanya di buat secara tertib dan berperaturan,” katanya.

Skuad JDT kini berada di Thailand untuk bertarung pada pusingan kelayakan Liga Juara-Juara AFC (ACL) berdepan kelab Bangkok United.

Anak buah Benjamin Mora itu muncul sebagai pasukan pertama dari Malaysia yang layak ke saingan itu untuk tempoh tiga tahun berturut-turut.

Lihat Komen
ADS