Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, perlu berdepan dengan pengaruh kerajaan atau Umno jika beliau benar-benar berhasrat bertanding jawatan presiden FAM.

Selepas sekian lama bayangan parti pemerintah menjadi 'payung besar' FAM, ada kemungkinan besar tradisi itu mahu dipertahankan pihak-pihak berkepentingan.

Malah dalam pencalonan awal untuk jawatan tertinggi badan induk bola sepak negara itu, Umno (walaupun mungkin secara tidak langsung) dilihat sudah meletakkan dua calon terbaik mereka.

Pencalonan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa dilihat sebagai isyarat jelas bahawa pengaruh Umno mahu kekal disematkan di Wisma FAM Kelana Jaya.

Annuar sendiri hari ini sudah mengesahkan pencalonannya sejurus selepas Tunku Ismail mendapat restui ayahandanya, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, untuk menjaga hal ehwal bola Malaysia melalui FAM.

Sekiranya Tunku Ismail nanti benar-benar menerajui FAM, keghairahan beliau dalam memajukan bola sepak tentu menyukarkan sebarang usaha mengambil kesempatan oleh mana-mana pihak melalui sisi-sisi lain dalam sistem bola sepak itu sendiri.

Malah, sistem sedia ada kemungkinan besar akan dirombak seperti yang dituntut barisan penyokong tegar TMJ dalam usaha beliau menyingkir 'kotoran-kotoran lampau' yang menjadi duri dalam daging.

Bermula daripada sistem pengurusan sehinggalah dalam urusan "budak milo" (merujuk kepada tukang kutip bola ketika sesuatu perlawanan) bakal diberi landskap baru atau muka baru.

Pemilik kelab bola sepak JDT itu juga diharap dapat melupuskan anasir-anasir kronisme yang dikatakan menjadi darah daging dalam budaya pentadbiran organisasi di Malaysia tercinta ini.

Modal ceramah politik

Dalam FAM sendiri, kini dikatakan ada dua kem sedang bersaing dengan setiap satu menyokong kumpulan pro-Umno dan satu lagi pro-TMJ.

Satu pihak mahu sistem sedia ada dipertahankan, dan satu lagi mengharapkan berlaku rombakan besar-besaran oleh TMJ.

Dalam seputar isu siapa bakal mengetuai FAM, sifir sedemikian - kewujudan pengaruh Umno - adalah hakikat yang perlu ditelan.

Bola sepak adalah sukan kegemaran rakyat di seluruh dunia dan tidak kecuali di negara kita. Umno pula khususnya mahu menggunakan keunikan sukan ini menaikkan kredibiliti mereka di mata umum.

"Siapa yang majukan bola sepak Malaysia? Jawabnya, Umno, kerajaan!" Sekurang-kurangnya laungan begitu mungkin dapat didengari menjadi modal ceramah-ceramah politik menjelang pilihan raya umum nanti.

Ada kemungkinan, dengan kesediaan Annuar bertanding sebagai salah seorang calon presiden FAM, ia akan disusuli dengan penarikan diri Khairy.

Jika keadaan itu berlaku - dan andainya Annuar berjaya - beliau secara langsung juga akan bekerjasama dengan Khairy yang kini rancak membangunkan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Nampak macam mustahil untuk kedua-dua mereka tampil bertanding untuk jawatan itu dengan matlamat yang sama.

Seorang lagi calon ialah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat, dilihat sebagai tokoh yang mendapat perhatian Tunku Ismail.

Aseh kemungkinan besar akan berundur sekiranya bos Harimau Selatan itu benar-benar mahu bertanding selepas diberi 'lampu hijau' sekali gus bakal mewujudkan pertandingan dua penjuru.

Ia susulan sokongan yang ditunjukkan wakil 14 daripada 20 ahli gabungan yang menyertai delegasi menghadap Sultan Ibrahim di Kelab Polo Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru hari ini.

Sementara Annuar, sedang bergelut dengan siasatan SPRM susulan dakwaan penyelewengan dana Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan digantung tugas sebagai pengerusi organisasi itu.

Menjelang tarikh Kongres FAM ke-53 pada 25 Mac depan, di atas kertas, Tunku Ismail dilihat sudah menang berbanding Annuar, sama ada dari aspek teknikal mahupun moral.

Namun seperti biasa, kata pemutus tetap terletak pada tangan-tangan yang mengundi pada pemilihan itu nanti.

Lihat Komen
ADS