Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pertemuan antara Kelantan dan Kedah pada perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV malam ini dikatakan lebih kepada 'perang psikologi' bagi menguji ketahanan mental pemain kedua-dua pasukan.

"Malam esok sebenarnya lebih kepada permainan psikologi antara kedua-dua pasukan, kerana kami mempunyai corak permainan yang hampir sama, cuma berbezanya kita bermain di hadapan penyokong sendiri.

"Kedua-dua pasukan mungkin turun dengan berwaspada. Bukan kami takut kepada mereka, begitu juga mereka bukan takut kepada kami kerana kami sebelum ini juga bermain dengan baik, begitu juga mereka," kata Ketua Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail kepada Bernama.

Beliau berkata, pemain The Red Warriors kini menunjukkan semangat tinggi untuk menang setelah mereka kalah kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) pada perlawanan pusingan kedua Piala FA Selasa lepas.

"Mereka (pemain) mahu mendapatkan tiga mata penuh bermain di halaman sendiri setelah tersingkir dalam Piala FA dan kini TRW mahu memberi tumpuan sepenuhnya dalam saingan Liga Super," katanya.

Beliau juga berkata Kedah di bawah bimbingan Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe kini merupakan pasukan yang baik dengan beberapa pemain mereka perlu diberi perhatian rapi.

"Mereka mempunyai pemain yang perlu diberikan perhatian seperti Liridon Krasniqi, Ken Ilso Larsen, Ahmad Fakri Saarani, Syazwan Zainon dan Mohd Farhan Roslan," katanya.

Kelantan kini berada pada kedudukan kelima liga dengan enam mata selepas mengharungi dua perlawanan, manakala Kedah menerusi empat perlawanan berada di kedudukan teratas liga dengan lapan mata hasil dua kemenangan dan dua seri.

-Bernama

Lihat Komen
ADS