Paling Popular
Terkini

Rekod cemerlang tanpa kalah dipegang JDT sejak musim lalu dalam saingan Liga Super berjaya dihentikan skuad Bos Gaurus di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.

Pada aksi kelima itu, pasukan tuan rumah tampil menggembirakan penyokong mereka dengan kemenangan 2-1.

Seawal minit ketujuh, anak buah Karl-Heinz Weigang mengejutkan pemain Harimau Selatan melalui gol pertama dijaringkan Yashir Pinto.

Hantaran Vladislav Mirchev jauh disambut larian Pinto di kawasan kotak penalti berjaya menewaskan pemain pertahanan dan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Bagaimanapun, kegembiraan pasukan tuan rumah hanya seketika.

Dua minit berselang Ahmad Hazwan Bakri berjaya menyamakan kedudukan menyudahkan umpanan Gabriel Guerra pada minit kesembilan.

Kedua-dua pasukan dari awal sepak mula menunjukkan rentak permainan rancak dengan gerakan-gerakan pantas dan berbalas serangan.

Biar pun JDT dilihat sedikit menguasai permainan, Perak pula lebih menguasai serangan sekali gus memberi tekanan di benteng pertahanan skuad asuhan Benjamin Mora.

Persaingan sengit dengan komitmen tinggi terus dipamerkan kedua-dua pasukan di separuh masa kedua selepas terika 1-1 pada 45 minit pertama.

Namun, tuan rumah pada awalnya agak defensif berbanding pasukan pelawat yang menguasai serangan menguji blok pertahanan Perak.

Bos Gaurus bagaimanapun tetap mencipta peluang dengan serangan-serangan balas pantas.

Hasilnya kunjung tiba pada minit ke-75, apabila Mirchev muncul sebagai wira Perak dengan jaringan yang memberi tiga mata penuh untuk mereka.

Kemenangan itu menjadi tiga mata penuh kedua dikutip anak didik Weigang selepas mereka tewas kepada PKNS FC, Sabtu lalu. 

Sementara itu, Kedah berjaya mengatasi Kelantan di Kota Bharu dengan kemenangan tipis 1-0 untuk mendahului kedudukan liga.

Skuad Helang Merah dilaporkan meraih gol tunggal disempurnakan ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar melalui sepakan penalti.

Cerita di Kuatan pula menyaksikan skuad Pahang mengamuk besar selepas membelasah Pulau Pinang dengan jaringan 6-1.

Pertemuan dua pasukan berstatus kelab iaitu T-Team dan PKNS FC berakhir dengan keputsuan seri 2-2, manakala Sarawak tewas di gelanggang sendiri ketika menentang Melaka United dengan keputusan 0-1.

Lihat Komen
ADS