Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Tunggakan gaji bukan penyebab kekalahan Kelantan kepada Kedah dalam saingan Liga Super di Stadium Muhammad IV malam tadi, kata pemain pertahanan Kelantan Nor Hafiz Zamani Misbah.

Beliau berkata kekalahan itu berikutan kesilapan yang dilakukan pemain dan tiada kena-mengena dengan isu tunggakan gaji.

"Pasal masalah gaji saya tidak mahu komen apa-apa, masalah itu biar pihak pengurusan menguruskannya. Sebagai pemain kami perlu memberikan tumpuan kepada setiap perlawanan dan bersikap profesional," katanya ketika ditemui pemberita malam tadi.

Semalam, akhbar melaporkan pemain Kelantan tidak dibayar gaji selama tiga bulan sejak November hingga Januari lepas.

Pada perlawanan malam tadi, Kedah menang tipis 1-0 ke atas Kelantan selepas jaringan tunggal kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-81 menerusi sepakan penalti cukup untuk skuad Helang Merah meraih tiga mata berharga.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kelantan Zahasmi Ismail berkata kehilangan dua penyerang import iaitu Mohammed Ghaddar yang tidak dapat diturunkan akibat cedera nyata memberi kesan kepada perancangan awal pasukan itu.

"Selain itu, penyerang import iaitu Alessandro Padovani Celin yang dikeluarkan akibat kecederaan pada minit ke-28 turut memberi kesan kepada posisi terbabit.

"Saya terpaksa menggunakan penyerang muda tempatan iaitu Muhammad Danial Ashraf Abdullah walaupun pemain ini kurang pengalaman," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS