FAM akan merujuk kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) jika merasakan wujud ancaman keselamatan ketika berdepan Korea Utara di Pyongyang dalam aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019.

Bagaimanapun, kata Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, "setakat ini belum ada apa-apa lag".

"AFC yang akan tentukan. Setakat minggu lepas, segalanya masih OK.

“Kalau sampai ke satu tahap, AFC akan menentukan sama ada bermain di tempat berkecuali atau ditangguhkan," Hamidin dilapor sebagai berkata di Petaling Jaya, semalam.

Beliau ketika diminta mengulas ketegangan antara kedua-dua negara selepas kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri pemimpin Korea Utara di lapangan terbang di Sepang baru-baru ini.

Wisma Putra semalam telah memanggil pulang Duta Besar Malaysia di Pyongyang. Duta Korea Utara Kang Chol pula semalam secara terbuka mengecam kaedah siasatan polis melibatkan rakyatnya yang disyaki membunuh Jong-nam.

Skuad Harimau Malaysia dijadual menentang Korea Utara pada 28 Mac depan di Stadium Kim Il-sung. Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Korea Utara, Hong Kong dan Lubnan.