Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Annuar bidas sikap berpuak-puak
Diterbitkan:  Feb 21, 2017 2:32 PM
Dikemaskini: 6:40 AM

Calon presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa menegaskan betapa beliau menolak sikap berpuak-puak sekiranya dipilih menerajui badan induk bola sepak negara itu.

Bakal dicabar Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Kongres Ke-53 FAM, 25 Mac depan, Annuar menyatakan kesediaannya untuk bekerja dengan sesiapa sahaja.

"Saya ditanya siapa gandingan saya dan sama ada saya boleh bekerja dengan si polan dan si polan.

"Suka saya tegaskan salah satu misi saya ialah membawa keharmonian, kerja berpasukan dan menghormati peranan semua exco yang dipilih," katanya dalam tulisan di Facebook, hari ini.

Kenyataan itu dilihat membidas sikap yang diambil calon timbalan presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang menyatakan hasratnya tidak mahu bergandingan dengan bekas presdien Persatuan Bola Sepak Kelantan itu.

Malaysiakini Sukan semalam melaporkan, Yusoff hanya mahu bergandingan dengan Tunku Ismail untuk memimpin FAM dan bukan dengan Annuar.

Justeru, Annuar berkata, beliau tidak terikat dengan sesiapan dan boleh bekerja dengan sesiapa sahaja.

"Perwakilan bebas memilih siapa saja. Adalah buruk bagi FAM kalau kita mula berpuak-puak, bergaduh sesama ahli gabungan, bergaduh dengan kementerian dan sebagainya.

"FAM perlu perlu tenang dan kekalkan sifat saling hormat menghormati," jelasnya.

Tambah anggota Parlimen Ketereh itu, beliau memilih untuk tidak menekan sesiapa dan tidak berkumpulan dalam menghadapi pemilihan kepimpinan FAM tersebut.

"Saya tidak akan menekan sesiapa dan tidak berkumpulan. Tiada sogokan dan tiada ugutan.

"Saya percaya badan gabungan bijak membuat pilihan sendiri corak mana kita mahu FAM ditadbir. Semuanya baik-baik belaka," katanya.

Lihat Komen
ADS