KJ, FAM bincang perlawanan M'sia-Korea Utara
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau akan bertemu dengan setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membincangkan perlawanan antara Malaysia dan Korea Utara yang bakal dilangsungkan di Pyongyang 28 Mac depan.
Menurut Khairy, beliau akan bertemu dengan Datuk Hamidin Mohd Amin sama ada hari ini atau esok bagi berbincang mengenai penganjuran perlawanan berkenaan.
"Saya akan berbincang dengan FAM dan selepas itu pihak FAM akan memaklumkan pada (Konfederasi Bola Sepak Asia)AFC dengan keputusan itu.
"Saya tak nak melangkaui keputusan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pembukaan mesyuarat pertama, penggal kelima, parlimen ke-13 hari ini.
Februari lalu, Khairy berkata Malaysia akan mempertimbang untuk mengubah lokasi perlawanan Malaysia dan Korea Utara pada pusingan kelayakan Piala Asia 2019 yang akan diadakan di Pyongyang sekiranya terdapat ancaman keselamatan.
Malah, pihak Malaysia juga akan meminta AFC memantau keadaan keselamatan di Pyongyang susulan hubungan diplomatik antara Kuala Lumpur dan Pyongyang sedang melalui fasa yang agak rumit.
Skuad Haarimau Malaysia dijadualkan menentang Korea Utara dalam perlawanan pusingan tiga kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Kim Il-sung, Pyongyang.
Hubungan diplomatik Malaysia dan Korea Utara tegang ekoran kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) 13 Februari lalu.

