Malaysia meletakan sasaran suku akhir pada Kejohanan Antarabangsa Ragbi Borneo Tujuh Sebelah yang akan berlangsung di Padang Kelab Ragbi Eagles, IJM Bandar Utama, Sandakan, pada Sabtu dan Ahad ini.

Ini adalah kali pertama skuad ragbi negara menyertai kejohanan tersebut sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos ini.

Ketua jurulatihnya, Mohd Saizul Hafifi Md Noh berkata sasaran adalah melepasi peringkat kumpulan dan menyedari akan berhadapan cabaran sengit daripada pasukan lain.

Katanya, kekuatan pasukan lain juga tidak diketahui tetapi pasukannya akan memberi saingan yang terbaik.

"Penyertaan kami tepat pada masanya dalam mempersiapkan pemain menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan ragbi negara di Sandakan, hari ini.

Pasukan ragbi negara diletakkan dalam Kumpulan B bersama pasukan kebangsaan Hong Kong, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabah Eagles dan Alabang Eagles dari Filipina.

Kumpulan A terdiri daripada New Zealand Borneo Eagles, pasukan kebangsaan Sri Lanka, Tribe 7S dari Australia, pasukan kebangsaan Singapura dan Cobra.

Mohd Saizul berkata pasukannya telah menjalani latihan persiapan menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur sejak September 2015 hinggga September tahun lepas untuk fasa pertama.

Katanya, latihan persiapan itu kini memasuki fasa kedua sejak Oktober tahun lepas hingga akhir Mac ini dan fasa keempat pada April hingga Ogos tahun ini.

Menurutnya, kejohanan seterusnya yang akan disertai adalah pada April ini di Singapura dan diikuti beberapa siri perlawanan persahabatan termasuk di New Zealand pada Julai nanti.

Beliau berkata persiapan ini penting bagi mencapai sasaran pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur.

-Bernama