Malaysiakini

Esok, menanti langkah pertama TMJ

N Faizal Ghazali  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

ULASAN Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku calon tunggal kerusi itu akan dinobatkan sebagai presiden baru, esok.

Dari Larkin ke Kelana Jaya, pemilik kelab bola sepak JDT itu meneruskan kesinambungan kerabat diraja menerajui badan induk bola sepak negara itu selepas kira-kira 30 tahun dinaungi kerabat diraja Pahang.

Kini, debaran dan tumpuan beralih kepada kerusi nombor dua FAM yang akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru untuk memilih dua orang kanan bakal Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Beliau menggantikan posisi Pemangku Sultan Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mengundurkan diri berikutan prestasi hambar skuad Harimau Malaysia.

Walaupun sudah menang tanpa bertanding dengan harapan tinggi tergalas dibahu beliau, penampilan Tunku Ismail pada Kongres yang berlangsung di Petaling Jaya esok tetap dinanti-nanti.

Malaysiakini difahamkan, Kongres FAM kali ini menjadi tumpuan para pengamal media tempatan sehingga memaksa pihak penganjur menghadkan jumlah kehadiran wartawan, jurugambar dan juruvideo bagi tujuan liputan.

Mungkin ada 'langkah pertama' yang bakal diumumkan beliau selepas dinobatkan secara sah sebagai bos baru FAM dan itu pastinya mahu didengari sekalian peminat bola sepak tanah air.

Mungkinkah ada rombakan

Apakah rombakan bakal dilakukan selain perubahan barisan jawatankuasa tertinggi FAM? Dasar dan Perlembagaan? Rombakan skuad kebangsaan? Kita bakal saksikan nanti.

Seramai 36 individu kecuali Tunku Ismail - mereka akan menyerahkan nasib di tangan 39 perwakilan yang mewakili 20 ahli gabungan badan induk bola sepak negara itu.

Ia melibatkan pemilihan bagi dua jawatan timbalan presiden, empat naib presiden, lapan ahli jawatankuasa dan dua exco wanita.

Kecuali Tunku Ismail, sama ada menang atau kecundang, diharap kesemua individu tidak memberi jawapan 'sekadar suka-suka' apabila ditanya niat dan sebab mereka bertanding selepas diberi pencalonan.

Besar harapan dan kepercayaan diletakkan oleh segenap lapisan khalayak bola sepak Malaysia untuk melihat FAM mengubah, diubah dan berubah demi perkembangan sihat sukan nombor satu itu.

Cabaran tentunya tergalas di bahu Tunku Ismail, kredibiliti beliau selepas penglibatan dalam perkembangan bola sepak tempatan dari awal bukan sekadar 'suka-suka'.

Semangat putera raja

Semangat berkobar-kobar putera raja berusia 32 tahun itu untuk mengubah lanskap bola sepak Malaysia tidak boleh dinafikan lagi. Ia selari dengan hasrat rakyat khususnya peminat bola sepak tempatan untuk melihat taring Harimau Malaysia menyilau di persada dunia.

Minat mendalam telah ditunjukkan Tunku Ismail melalui kepimpinan ke hadapan menerajui pasukan JDT, bahkan mampu membawa Harimau Selatan ke peringkat lebih tinggi berbanding pasukan lain.

Kegemilangan JDT yang dirasai kini tidak dapat dinafikan, sentuhan Tunku Ismail memberi nafas baru terhadap bola sepak Johor sekali gus tempiasnya turut meresapi pasukan-pasukan pesaing.

Sementara itu, harapan sama juga perlu tersemat di hati mereka yang bertanding bagi jawatan-jawatan lebih bawah. Merekalah bakal menghiasi gerak kerja kepimpinan Wisma FAM, Kelana Jaya.

Dunia bola sepak hari ini adalah dimensi moden yang dilestarikan dengan perkembangan dan kemajuan pelbagai bidang di pentas global.

Dengan sistem jalur lebar, kecanggihan elektronik dan visual. Aspek-aspek tersebut semakin berperanan dalam menggerakkan perkembangan bola sepak dunia.

Selain itu, sistem pengurusan dari budak 'Milo', peraturan dan pengadilan, keselamatan, kecantikan padang, penciptaan bola, penjenamaan, penajaan dan penganjuran pertandingan semakin diperkemas dengan mutu lebih baik.

Di Malaysia, kita harap segalanya bermula selepas tarikh 25 Mac ini. Tidak kira siapa bakal terpilih untuk menjadi jentera di belakang Tunku Ismail.

Dengan kepercayaan perwakilan dan rakyat Malaysia khususnya, perubahan ke arah kemajuan bola sepak negara mesti dibuktikan.

Selamat berkongres!


N Faizal Ghazali adalah wartawan Malaysiakini. Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.