Malaysiakini

Empat pemain JDT kembali sarung jersi kebangsaan?

Sukan  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baru, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi bayangan empat pemain Johor Darul Ta'zim bakal menyarung semula jersi skuad kebangsaan.

Tunku Mahkota Johor memberikan bayangan demikian apabila memuat naik gambar empat pemain berkenaan beserta perkataan tertera 'Selamat kembali' di Facebook Johor Southern Tigers hari ini.

Sekiranya benar, ia merupakan satu lagi keputusan drastik yang diambil Tunku Ismail selepas memberi mandat kepada Mario Gomez untuk memikul tugas selaku ketua jurulatih baru skuad negara.

Semalam, dua pemain JDT yang mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan Julai lalu dilapor bersedia kembali ke pangkuan Harimau Malaysia di bawah kepimpinan baru FAM yang diterajui Tunku Ismail.

Bekas kapten kebangsaan, Safiq Rahim dan Mohd Amirulhadi Zainal, masing-masing menyatakan kesediaan menyarung jersi Malaysia.

Selain Safiq dan Mohd Amirulhadi, dua lagi pemain JDT yang bersara daripada skuad kebangsaan Julai tahun lalu ialah Aidil Zafuan Abdul Radzak dan S Kunalan.

Safiq yang juga ketua pasukan JDT turut melahirkan keyakinan terhadap Tunku Ismail untuk membawa perubahan dalam sukan bola sepak tanah air.

“Pada masa ini, saya mahu memberi keutamaan kepada JDT dan perkara lain yang sedang saya usahakan, tetapi kita tidak boleh jangka masa depan. Insya-Allah, saya bersedia berbuat demikian (menyarung jersi Malaysia) sekiranya diberi peluang pada masa depan.

“Apa jua keputusan atau perancangan pada masa depan itu kita tunggu,” kata Safiq seperti dilapor Utusan Online.

Sementara itu, Amirulhadi juga tidak menolak kemungkinan menyarung semula jersi kebangsaan sekiranya diberi peluang.

“Tahniah kepada Tunku Mahkota Johor, saya yakin dengan kepemimpinan beliau pembaharuan akan berlaku dalam bola sepak negara selain bakal mendapat pendedahan lain lebih baik yang memberi manfaat kepada pasukan negara," katanya.